Jualan amal Palestin: Harus lebih telus, elak persepsi sengaja ambil kesempatan

IPOH – Mana-mana pihak yang ingin melakukan ‘jualan amal’ dan sebahagian hasilnya disumbangkan kepada tabung kebajikan untuk rakyat Palestin diminta supaya bersikap lebih telus.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia bagi mengelakkan sebarang tanggapan negatif masyarakat terhadap usaha murni itu.

Katanya, semua pihak yang ingin melaksanakan usaha murni itu harus memberi penerangan kepada umum bagi mengelakkan daripada dianggap sebagai cuba mengambil kesempatan terhadap kesengsaraan rakyat di Palestin.

“Saya tidak membantah usaha sedemikian, cuma jangan sampai masyarakat anggap ia seolah-olah macam sengaja mengambil kesempatan untuk melariskan barang yang dijual. Jadi, mereka harus menjelaskan dengan baik terhadap usaha itu kepada masyarakat, atau dalam erti kata lain ‘transparent’ (telus).

“Sebagai contoh dalam soal buat jualan amal melalui jualan bendera. Maklumkan kepada masyarakat tentang berapa kos yang akan diambil untuk tambung kos pencetakkan, dan berapa wang yang benar-benar disumbangkan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid (tengah) bersama Pengarah Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Amin Abu Shamalla (kanan) melancarkan tabung kecemasan Palestin pada Majlis Penerangan Keadaan Gaza-Palestin Terkini di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 OKTOBER 2023

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penerangan Keadaan Gaza Palestin Terkini di Masjid Negeri Perak (Masjid Sultan Idris Shah II), dekat sini, pada Jumaat.

Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Amin Abu Shamalla serta Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh.

Sebelum ini tindakan seorang usahawan tempatan mengundang pelbagai reaksi warganet selepas didakwa sengaja mengambil kesempatan ke atas penderitaan rakyat Palestin selepas mengeluarkan produk pakaian dan barangan aksesori bertemakan negara itu.

Pengarah Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr Sharif Amin Abu Shamalla pada sidang media Majlis Penerangan Keadaan Gaza-Palestin Terkini di Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 20 OKTOBER 2023

Dalam perkembangan berasingan, Sharif Amin merakamkan penghargaan kepada Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa peka terhadap isu kemanusiaan kepada Palestin.

Malah katanya pendirian dan kenyataan-kenyataan Anwar berhubung sokongan terhadap negara kelahirannya itu juga disambut baik.

“Hubungan antara Malaysia-Palestin bukan sesuai yang asing, dan untuk itu mewakili rakyat Palestin yang sedang ditekan oleh zionis Israel, kami amat berterima kasih atas sumbangan yang sokongan yang diberikan kepada kami.

“Kami berharap ia akan menjadi pembakar semangat kami dalam memastikan tanah air kami bebas daripada cengkaman Israel,” katanya lagi. -MG Perak.

BACA SETERUSNYA:

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI