IPOH – Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menegaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak wajar mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan dengan membuat penentuan sama ada seseorang yang telah disabitkan kesalahan layak atau tidak diberikan pengampunan.
Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan telah menyediakan proses yang jelas bagi perkara tersebut di bawah Perkara 42 dan proses tersebut perlu dihormati tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
“Dalam sistem negara ini, mahkamah menjalankan proses perbicaraan, menentukan sabitan dan menjatuhkan hukuman, manakala Jabatan Penjara melaksanakan hukuman yang telah diputuskan.
“Pada masa yang sama, Perlembagaan turut menyediakan suatu proses yang tersendiri bagi mempertimbangkan permohonan pengampunan selepas seseorang disabitkan dan dihukum,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Katanya lagi, setiap proses mempunyai fungsi dan kedudukannya masing-masing dalam kerangka undang-undang dan Perlembagaan negara, justeru, permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak seharusnya digambarkan sebagai suatu penolakan atau penafian terhadap keputusan mahkamah.
“Ia bukan perbicaraan semula atau rayuan tambahan melalui saluran politik, sebaliknya merupakan suatu proses yang diperuntukkan oleh Perlembagaan selepas seseorang disabitkan dan dihukum.
“Dalam hal ini, apa yang menjadi persoalan ialah apabila terdapat pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang secara terbuka membuat penentuan lebih awal bahawa permohonan pengampunan tersebut tidak wajar diperkenankan,” katanya.
Menurut Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, kenyataan sedemikian bukan sahaja mendahului pertimbangan Lembaga Pengampunan, malah berisiko mewujudkan tekanan politik terhadap suatu proses yang sepatutnya diberikan ruang untuk berjalan secara tertib menurut Perlembagaan.
Jelasnya, ahli politik berhak memberikan pandangan mengenai dasar, undang-undang dan kepentingan awam, namun tidak seharusnya mendahului proses pengampunan dengan mengisytiharkan terlebih dahulu siapakah yang layak atau tidak layak memperoleh pengampunan.
“Malaysia berdiri atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menuntut setiap lapisan rakyat menghormati fungsi, bidang kuasa dan proses yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.
“UMNO Negeri Perak akan terus menjunjung institusi Raja-Raja Melayu serta menghormati apa jua keputusan yang dibuat selaras dengan kerangka Perlembagaan,” katanya.
Tambahnya, mahkamah telah menjatuhkan hukuman lalu Jabatan Penjara melaksanakan hukuman dan biarlah proses Lembaga Pengampunan berjalan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan tanpa didahului oleh tekanan politik mana-mana pihak. -MG Perak


