WALAUPUN ia kilauan ‘Perak’, namun negeri ini ibarat permata yang kaya dengan nilai warisan dan budaya bangsa.
Bermula dengan perkembangan tamadun awal manusia di Lembah Lenggong, sejarah kesultanan Perak di Bandar Diraja Kuala Kangsar, sehingga ke perkembangan bijih timah di Kinta, setiap daerah di negeri ini kaya dengan identiti tersendiri.
Keunikan itu juga memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Perak, ditambah dengan kempen Tahun Melawat Perak 2024 yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, Disember lalu.
Setiap hujung minggu, kawasan tumpuan pelancong seperti di sekitar Ipoh sering menerima jumlah kunjungan yang tinggi terutama terutama dari negeri-negeri jiran.
Tidak kurang juga kepada pusat-pusat pelancongan berkonsepkan rekreasi di Kampar, Lenggong, dan Lumut kerap menerima tempahan penuh atau ‘fully booked’ pada musim cuti sekolah.
Di sebalik itu, Negeri Perak juga dilihat mempunyai potensi besar dalam segmen pelancongan yang semakin berkembang dalam negara ketika ini iaitu pelancongan mesra Muslim atau pelancongan Muslim.
Segmen pelancongan Muslim dapat ditakrifkan kepada aspek yang mematuhi prinsip-prinsip Islam khususnya dalam soal penyediaan perkhidmatan serta kemudahan seperti makanan halal, tempat solat dan sebagainya.
Di Perak, ia tidak hanya dipromosikan sebagai destinasi pelancongan pilihan, malah kerajaan negeri juga memastikan pengalaman pelancongan yang disediakan adalah selari dengan tuntutan syariah.
Pasaran pelancongan Muslim capai nilai USD 300 bilion
Saarani ketika berucap merasmikan Pelancaran Pakej Kembara Islamik baru-baru ini berkata, Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2024 mengunjurkan pasaran pelancongan Muslim global dijangka meningkat kepada 230 juta pelancong menjelang tahun 2028, berbanding 160 juta bagi tahun 2019.
Menurut beliau, dari segi nilai pula, pasaran ini dijangka mencapai dolar Amerika Syarikat (USD) 300 bilion menjelang 2026 yang mana ia meningkat dari USD 220 bilion ketika ini.
“Dengan populasi Muslim global kini melebihi 1.9 bilion, bayangkan potensi ekonomi yang boleh kita raih jika kita berjaya menarik sebahagian daripada pasaran yang berkembang pesat ini ke Negeri Perak.
“Saya yakin, keunikan yang ditawarkan melalui pakej Kembara Islamik mampu menarik kunjungan pelancong Muslim dari pelbagai negara, khususnya dari rantau Timur Tengah, China, dan Eropah,” katanya.
Kata Menteri Besar lagi, pelancong pastinya akan terpesona dengan masjid-masjid di Perak yang mempertaruhkan elemen seni bina Islam dengan asimilasi pelbagai budaya.
Kenyataan itu disokong dengan keberadaan pelbagai masjid di negeri yang sememangnya cukup terkenal dengan keunikannya tersendiri.
Misalnya, Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar disenaraikan sebagai antara masjid yang cukup cantik di negara ini.
Pernah menjadi Masjid Negeri Perak, masjid yang siap dibina di Bukit Chandan pada tahun 1917 itu menggunakan seni reka ‘Moor’ yang juga dipengaruhi dipengaruhi seni bina Islam-India.
Sementara di Kampung Chepor, Lenggong sebuah masjid berusia lebih 400 tahun dengan seni reka bentuk Melayu masih lagi utuh.
Masjid yang dibangunkan atas titah Sultan Perak Pertama, Sultan Mudzaffar Shah I itu juga unik apabila ia dibina di atas tapak yang mengandungi debu daripada letusan Gunung Berapi Toba kira-kira 75,000 tahun lampau.
Di Ipoh pula, sebuah masjid di Taman Tasek Jaya dibina dengan ciri dan reka bentuk kebudayaan serta masyarakat Cina, sebagai cerminan kepada keharmonian dan asimilasi budaya di negeri ini.
Masjid Muhammadiah atau lebih dikenali dengan nama Masjid Cina itu dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 18 Julai 2014.
Uniknya, masjid itu merupakan satu-satunya masjid luar China yang menggunakan seni bina ‘bumbung panjang’ dan ‘bumbung lima’ yang menjadi identiti bangunan masyarakat Cina.
Pada masa sama, kepelbagaian pilihan makanan halal yang mudah didapati juga layak meletakkan Perak sebagai salah satu destinasi ideal bagi sektor pelancongan Muslim.
Terdapat pelbagai premis makanan seperti restoran dan gerai halal boleh didapati di hampir setiap daerah di Perak
Ia bukan sahaja menawarkan hidangan tempatan, malah terdapat pilihan makanan seperti dari tradisi Cina, India, Thailand dan antarabangsa lain yang memenuhi keperluan halal.
Potensi besar industri pelancongan Muslim
Berdasarkan kepada GMTI 2024 yang dikeluarkan oleh CrescentRating dan Mastercard, Malaysia mengekalkan kedudukan teratas sebagai destinasi mesra Muslim terbaik untuk kali kesembilan.
Pengiktirafan itu semestinya memberi Malaysia dan Perak khususnya kelebihan untuk memanfaatkan trend yang semakin berkembang dalam industri pelancongan Muslim.
Menurut Saarani, pengembangan sektor berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai sebuah negeri maju yang seimbang dari segi pembangunan fizikal, ekonomi, serta pemeliharaan nilai-nilai agama dan budaya.
Di samping kempen Tahun Melawat Perak 2024, usaha yang dijalankan juga selari dengan flagship Ekonomi Pengalaman dalam pelan Perak Sejahtera 2030 melalui segmen Pelancongan Peradaban dan Kesejahteraan Nusantara.
Justeru itu, Saarani berkata, Negeri Perak berpotensi besar untuk menarik pelancong Muslim dari seluruh dunia.
Kata beliau, sebagai bukti komitmen inisiatif Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Pusat Pelancongan Islam (ITC) disambut baik kerajaan negeri melalui Tourism Perak dan Bahagian Kerajaan Tempatan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak.
“Antaranya (bukti komitmen lain) memperkenalkan Enakmen Hotel 2023 dan menyertai Dubai Expo.
“Di Samping itu, Perak meneroka segmen pasaran pelancong dari Timur Tengah di Arabian Travel Market (ATM) untuk memastikan pematuhan kepada prinsip-prinsip syariah dalam industri perhotelan.
“Selain itu, kerajaan negeri juga menggalakkan pengusaha mendapatkan pensijilan halal, menaik taraf premis dan tempat tarikan pelancong serta mempergiatkan promosi dalam dan luar negara.
“Ia bagi memastikan Perak dapat terus diperkenalkan sebagai destinasi pelancongan Islamik bertaraf antarabangsa,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak anjur program pelancongan warisan dan patriotik pertama di Malaysia