GERIK – Seramai 90 pelajar tingkatan empat dari tiga sekolah menengah di Lenggong, menyertai program Pemantapan Sahsiah: Ekspresi Dirimu (Remaja dan Hala Tuju selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)) baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan memaklumkan, mereka merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad, SMK Tan Sri Abdul Aziz dan SMK Sultan Azlan Shah, Lenggong.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 7 September lalu di Kolej Komuniti Gerik (KKGP) dekat sini, itu bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar dari sudut pembentukan pemikiran dan tingkah laku positif.
“Ia juga diadakan sebagai pendedahan awal dalam bidang kemahiran yang mampu menarik minat mereka untuk belajar dan meneroka dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada masa akan datang.
“Program berkenaan julung kali diadakan secara kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Perak, Pejabat Pendidikan (PPD) Daerah Hulu Perak dan KKGP,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, Program Pemantapan Sahsiah: Ekspresi Dirimu itu dirasmikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed.
Katanya, penganjuran program turut mendapat sokongan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (P3K) Daerah Hulu Perak.
“Selain menanam minat pelajar dalam bidang TVET turut diadakan juga aktiviti berbentuk motivasi seperti ceramah-ceramah dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Polis DiRaja Malaysia serta Pejabat Parol Daerah Hulu Perak,” jelasnya.
Ketika berucap pada majlis perasmian penutup, Salbiah berkata, program berkenaan dapat memberikan input yang diperlukan peserta untuk mencapai kesejahteraan sosial.
Malah ujar beliau, ia juga memberi pendedahan tentang pembelajaran dalam bidang TVET khususnya kepada anak-anak pelajar di Hulu Perak.
Mengulas lanjut Salbiah berkata, seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Perak, diharapkan kerjasama antara JKM, PPD dan KKGP itu dapat menjadi model kejayaan dalam meningkatkan kualiti mutu pendidikan negara.
“Melalui kerjasama ini kita berhasrat untuk meningkatkan aksesibiliti latihan kemahiran kepada kumpulan sasar serta menyediakan peluang yang baik untuk mereka menyambung pengajian dan memperoleh pekerjaan stabil serta berdaya saing.
“Ini adalah usaha kita untuk memastikan tidak ada sesiapa yang ketinggalan dan semua individu berpeluang untuk memperbaiki taraf hidup mereka melalui pendidikan dan latihan yang berkualiti,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: