Pelajar Singapura, Malaysia pelajari ternakan rusa di Lenggong

LENGGONG – Seramai 20 pelajar Singapura dan Malaysia diberi peluang menimba pengetahuan dan pengalaman di Ladang Ternakan Rusa Sadang PROSPEK Lenggong, di sini, pada Khamis.

Kesemua mereka terdiri daripada 10 pelajar Politeknik Singapura, empat Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan masing-masing dua dari Politeknik Bagan Datuk, Politeknik Jeli dan Kolej Komuniti Gerik.

Pelajar Politeknik Singapura, Sin Hwee, 18, berkata, dia sentiasa mengimpikan untuk merasai suasana ladang ternakan dan impian itu dipenuhi melalui program yang diikutinya.

Sin Hwee

Pelajar semester ketiga, jurusan sains farmaseutikal itu berkata, dia dan rakan-rakan diberi peluang untuk merasai sendiri suasana menguruskan ladang ternakan rusa di kawasan yang dikelilingi gunung serta pemandangan indah.

“Kami telah menemubual kakitangan di ladang ini dengan bertanya cara mereka bekerja serta masalah yang dihadapi dalam menguruskan ternakan rusa bagi mendapatkan permasalahan yang boleh kami selesaikan.

“Berdasarkan pertanyaan yang diutarakan pekerja ladang berkongsi masalah mereka dari segi mendapatkan pemasaran serta mempromosi ladang tersebut kepada orang ramai,” katanya kepada MG Perak.

Tambah Sin Hwee, dia dan rakannya akan berbincang bagi mencari penyelesaian masalah yang dihadapi dan membuat perbentangan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Seorang lagi peserta Muhammad Najmuddin Ibrahim, 19, berkata, pelawaan pensyarah untuk dia mengikuti program tersebut ternyata berbaloi kerana bukan sahaja berkenalan dengan rakan baharu tetapi juga menambah pengetahuan.

Pelajar Sijil Teknologi Maklumat, Kolej Komuniti Gerik itu berkata, peluang diberi dalam menyelesaikan masalah komuniti di Lenggong memberinya ruang untuk mengenali masyarakat dan kawasan setempat.

Muhammad Najmuddin Ibrahim

“Sebelum ini saya tidak tahu bahawa Lenggong ada penternakan rusa sedangkan saya selalu lalu kawasan ini untuk ke kolej di Gerik dan selepas bertemu pekerja ladang banyak maklumat kami peroleh.

“Selari dengan visi dan misi program ini, kami telah menemuramah pekerja dan bertanya mengenai aspirasi dan harapan mereka bagi memudahkan kami membantu ekonomi dan ternakan rusa di Lenggong,” katanya.

Pengarah Kolej Komuniti Gerik, Ts Khairil Azhar Mohd Nor berkata, ke semua 20 pelajar terlibat merupakan sebahagian daripada 60 pelajar dari Singapura dan Malaysia yang mengikuti Program ‘Learning Express (LeX) Design Thinking’.

Menurut beliau, program bermula 30 September hingga 11 Oktober itu memberi peluang kepada 30 pelajar Singapura dan 30 pelajar Malaysia bertujuan memperkukuhkan kemahiran dalam bidang pemikiran reka bentuk melalui aktiviti interaktif melibatkan kolaborasi bersama institusi tempatan.

“Semua peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan setiap kumpulan seramai 20 pelajar dan mereka ditempatkan di tiga lokasi berbeza iaitu di Kampung Bendang Siam, Taiping dan Lenggong di Perak serta di Jeli, Kelantan.

“Setiap kumpulan diberikan tugasan mengikut bidang masing-masing seperti ekonomi pertanian di Kampung Bendang Siam, penternakan rusa di Lenggong dan penternakan ikan di Jeli,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Lenggong, Mohd Noor Azam Ismail berkata, penganjuran program melibatkan pelajar luar dan dalam negara seperti ini memberi peluang dan pendedahan bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi juga kemahiran dilapangn.

Beliau berkata, peluang yang diberikan untuk membantu penternak rusa di PROSPEK Lenggong dilihat sebagai langkah awal dalam mempromosikan kawasan tersebut kepada pelancong luar dan dalam negara.

“Program seumpama ini perlu diteruskan dan jika ada siri lain selepas ini kami amat mengalu-alukannya memandangkan kita boleh berkongsi pengetahuan dan pengalaman,” katanya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI