IPOH – Polis menahan dua lelaki yang disyaki sindiket along selepas dipercayai melalukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat pada tiga kenderaan milik penduduk di Taman Muhibah, Sitiawan bulan lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kedua-dua suspek berusia 23 dan 26 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan pada 8 dan 9 Oktober bersama rampasan barang kes.
“Operasi mengesan kedua-dua suspek dilancarkan selepas menerima laporan daripada pengadu pada 29 September lalu.
“Hasil risikan dan maklumat polis berjaya menahan suspek pertama berusia 26 tahun di Sabak Bernam, Selangor, Selasa lalu manakala rakannya ditahan di Alor Setar, Kedah, pada Rabu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Khamis.
Menurut Azizi, siasatan lanjut mendapati kejadian sebenar berpunca daripada salah faham membabitkan kedua-dua pihak.
“Pengadu menafikan penglibatan dalam kegiatan pinjaman wang tidak berlesen dan tidak bermusuh dengan sesiapa.
“Pengadu merasakan suspek menyasarkan rumah yang salah kerana maklumat yang dipaparkan melalui nota yang ditinggalkan adalah bukan milik pengadu,” katanya lagi.
Tambah beliau, kes disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan pertuduhan di mahkamah.
“Sekiranya didapati bersalah kedua-dua suspek boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada pengadu selepas kenderaan jenis Proton X70, Proton Persona dan Nissan Almera yang diletakkan di hadapan rumahnya telah disimbah cat berwarna merah.
Kejadian itu disedari jam 5.30 pagi oleh pengadu dan terdapat notis tertera gambar kad pengenalan milik seorang lelaki yang tidak dikenali mangsa tergantung di pagar rumahnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: