Pesawat pejuang TUDM tiada kaitan dengan bunyi dentuman, gegaran

IPOH – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menegaskan bahawa tiada sebarang penerbangan pesawat pejuang TUDM yang dilaksanakan di sekitar Ipoh susulan kejadian bunyi dentuman dan gegaran yang berlaku di sini, semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan TUDM pada Selasa memaklumkan, kejadian yang dikaitkan kemungkinan berpunca daripada dentuman ‘Sonic Boom’ itu juga tidak melibatkan pesawat asing.

“Pihak TUDM meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan siasatan dan mengenalpasti punca sebenar kejadian,“ jelas kenyataan itu ringkas.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, polis sedang menyiasat bunyi letupan dan gegaran yang menggemparkan penduduk di sekitar Ipoh pagi.

Katanya, polis menerima maklumat berhubung insiden itu sekitar jam 11.06 pagi dan hasil semakan dengan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan dijalankan semalam.

“Selain itu, semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga mendapati tiada aktiviti letupan yang dijalankan di kuari sebelum jam 12 tengah hari.

“Hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) turut mendapati tidak terkesan sebarang aktiviti seismik di Ipoh walaupun terdapat kejadian gempa bumi yang berlaku di Halmahera, Indonesia pada jam 11.24 pagi,“ katanya dalam satu kenyataan semalam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bunyi letupan, gegaran tiada kaitan dengan gempa bumi di Indonesia

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI