IPOH – Mesyuarat khas polis bersama 20 agensi kerajaan dan swasta yang berlangsung hari ini masih tidak dapat merungkai punca sebenar bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sini pada 21 Oktober lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, antara yang terlibat dalam mesyuarat itu adalah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Meterologi Malaysia (METMalaysia), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD).
Menurutnya, dalam mesyuarat tersebut mereka yang terdiri daripada pakar dalam bidang masing-masing mengguna pakai tiga pendekatan untuk mencari solusi punca berlakunya kejadian tersebut.
“Kita melihat dari tiga skop untuk mencari punca menerusi pendekatan saintifik, elemen daripada angkasa dan sama ada ia melibatkan gegaran daripada persekitaran.
“Rata-rata pakar yang memberi pandangan kalau diambil pendekatan dari saintifik sama ada melalui gegaran bumi atau pergerakan letupan dari bumi, ia tidak dalam kaedah radar yang ditetapkan.
“Ia seperti mana dalam kenyataan METmalaysia yang mengatakan kejadian ini tidak mirip ke arah gempa bumi, pergerakan di kerak bumi atau tidak terkesan daripada letupan negara jiran,“ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai menghadiri Mesyuarat Isu Keselamatan Negeri Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Azizi berkata, hipotesis mengenai elemen supersonik turut ditolak kerana sewaktu kejadian ruang udara terkawal dan sistem radar tidak mengesan sebarangan penerbangan.
“Elemen letupan kuari atau aktiviti ekonomi juga ditolak kerana kaedah itu tidak mungkin menimbulkan gegaran sekuat itu yang dirasai di beberapa lokasi.
“Justeru, kita perlu menyelami lagi pendekatan mengesan elemen-lain lain yang berkemungkinan di luar jangkaan,“ ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak perlu bimbang kerana kerana METMalaysia mengesahkan bandar raya ini tidak mengalami sebarang masalah dari segi permukaan bumi.
“Kita pernah mendengar bahawa kejadian seumpama ini berlaku setiap enam tahun sekali. Bermula 2012, 2018 dan 2024, tetapi sehingga kini kekal misteri.
“Mungkin ia satu kejadian yang kita perlu lihat dari segi saintifik melalui kaedah lain namun tidak menggugat nyawa manusia yang berada di Perak,” ujarnya.
Azizi turut mengesahkan setakat ini polis serta agensi keselamatan lain tidak menerima sebarang laporan kerosakan harta benda dan nyawa kesan daripada insiden tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Insiden letupan: Polis bermesyuarat dengan 20 agensi berkaitan