JOHOR BAHRU – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] sudah menjalankan libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan untuk meneroka dan mengenal pasti tanah-tanah yang berpotensi untuk inisiatif pembangunan tanah wakaf.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini melibatkan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dari seluruh Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) serta Yayasan Wakaf Malaysia.
“Dengan kerjasama strategik bersama pihak-pihak berkepentingan, saya yakin bahawa projek ini dapat terus menyokong keterjaminan sosial dan ekonomi golongan warga emas, selain mengoptimumkan pengunaan tanah wakaf sedia ada.
“Inisiatif ini juga selari dengan program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan untuk menaikkan lantai darjat hidup rakyat dan bersesuaian dengan hasrat kerajaan Madani untuk terus mendukung kesejahteraan para pesara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam Program Perasmian Karnival My Pesara KWAP 2024 di Padang Akasia Angsana JB di sini hari ini.
Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan RM300 juta untuk projek berkenaan dalam usaha KWAP untuk terus menyokong para pesara.
Selain itu, Anwar berkata, kerajaan memberikan sokongan penuh terhadap usaha KWAP dalam memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan, pesara dan pihak berkepentingan.
Melalui kerjasama erat antara KWAP dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ujarnya, kesejahteraan pesara serta pihak berkepentingan dapat terus dipelihara dengan langkah-langkah yang proaktif untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan.
“Usaha ini bukan sahaja melibatkan perlindungan hak dan kepentingan mereka, tetapi juga memperkukuh hubungan antara semua pihak demi manfaat menyeluruh jangka panjang,” ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kejayaan dan pencapaian KWAP menguruskan dananya yang menyaksikan peningkatan dua tahun ini akan dapat menyokong kerajaan dalam pengurusan liabiliti pencen masa depan.
Jelasnya, perkembangan tersebut seterusnya akan memberi impak positif kepada rakyat dan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
“Pada tahun 2023, saiz dana KWAP telah meningkat kepada RM169.8 bilion, iaitu lebih empat kali ganda berbanding jumlah asal sebanyak RM41.9 bilion ketika ia ditubuhkan pada tahun 2007.
“Malah, pada tahun lalu sahaja, KWAP berjaya mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus, satu pencapaian yang amat memberangsangkan di sebalik cabaran ekonomi semasa,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, umum mengetahui peranan utama KWAP adalah untuk menguruskan pembayaran pencen namun pelbagai inisiatif juga dilakukan.
Jelasnya, ini bagi memastikan para pesara, bakal pesara dan pemegang taruh dapat menikmati keterjaminan kehidupan selepas persaraan yang lebih mampan serta produktif.
Beliau melahirkan harapan yang besar agar KWAP menggalas amanahnya dengan penuh integriti.
“Pokoknya, inisiatif ini bertujuan memperkasakan sektor-sektor utama bagi kebajikan warga emas sekali gus meningkatkan kemasukan pelaburan yang memberi impak positif kepada kesejahteraan negara,” katanya.- MalaysiaGazette