IPOH – Semua wakil rakyat DAP diingatkan supaya menepati petunjuk prestasi utama (KPI) dan sekiranya tidak, kedudukan mereka bakal diganti dengan barisan pelapis pada pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata justeru beliau memberi peringatan agar mereka sentiasa melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan rakyat baik di peringkat persekutuan mahupun negeri.
“Kita kena ingat bahawa pada hari ini apabila kita diberi mandat yang begitu besar, harapan daripada rakyat juga sangat besar.
“Justeru itu seluruh kepimpinan dan keahlian DAP mesti terus berusaha bertungkus lumus dan paling penting kita mesti mengingatkan diri untuk sentiasa berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Perak Ke-22, di Hotel Kinta Riverfront di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa serta Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata kesemua wakil rakyat DAP harus memainkan peranan yang penting bagi memastikan dasar dan juga perjalanan kerajaan di semua peringkat berjalan dengan lancar di samping memberikan manfaat kepada rakyat.
“Yang paling penting kita mesti ingatkan diri kita setiap hari kerana apabila kita menggalas satu jawatan itu merupakan amanah dan tanggungjawab yang mesti kita laksanakan untuk kebaikan negara, negeri dan rakyat.
“Anda telah diberikan amanah, diberikan peluang menjadi calon bagi pihak DAP. Kita mesti buat yang sebaik mungkin, jangan sesekali memalukan parti ini dengan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai calon dan wakil rakyat,” ujarnya.
Memberi contoh di Perak, Loke berkata selain wakil rakyat, terdapat juga 99 orang ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta lebih 100 ketua kampung daripada DAP.
Pada masa sama, beliau juga mengingatkan kumpulan pelapis agar sentiasa bekerjasama dengan wakil rakyat sedia ada, bukannya bertanding melawan mereka.
“Setiap kali pilihan raya ada wakil rakyat yang hendak bersara ataupun mengundurkan diri akan ada peluang kepada pelapis-pelapis ini (menjadi calon),” tambahnya. -MG Perak