IPOH – Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan projek kampus baharu cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di Bercham, dekat sini, pada Sabtu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, projek yang melibatkan kos berjumlah RM27.1 juta mula dibina pada tahun 2018 dan siap sepenuhnya pada 28 Disember lalu.
“Kampus itu mampu menempatkan seramai 1,200 orang pelajar tambahan kepada 6,200 PUO sedia ada.
“Dan ini akan menjadikan PUO sebagai politeknik yang terbesar dalam negara daripada segi kapasiti jumlah pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Menyiapkan Baki Kerja Projek Ubah Suai dan Menyiapkan Kampus Cawangan PUO di Bercham dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Roslan Ismail; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Dr Mohd Zahari Ismail serta Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah.
Terdahulu majlis menandatangani dokumen penyerahan projek disempurnakan antara pihak kontraktor Pengarah Syarikat Antena Sensasi Sdn Bhd, Zareq Muhar Ramlan, Jurutera Daerah JKR Kinta, Atikah Md Radzi dengan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Mohamad Azhan Md Amir.
PUO Kampus Cawangan Bercham yang dibangunkan di kawasan seluas 1.53 hektar itu dijangka akan mula beroperasi secara berfasa bermula Februari depan dan kemasukan pelajar sepenuhnya pada Ogos tahun ini.
Ia akan menempatkan lima program iaitu Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Kewangan, Diploma Kewangan Islam dan Diploma Pengurusan Peruncitan.
Kampus itu juga dilengkapi dengan bilik Technology-enable Collaborative Classroom (TeCC) bersama peralatan teknologi realiti maya (VR) serta ruang kuliah dan ruang simulasi bank. – MG Perak
Artikel Berkaitan: