TELUK INTAN – Seramai 83 mangsa daripada 21 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas kediaman mereka di sekitar Changkat Jong, di sini dinaiki air ekoran hujan lebat selama lima jam.
Difahamkan hujan lebat bermula pada jam 11 malam pada Khamis sehingga jam 2 pagi pada Jumaat menyebabkan paras air naik ke kediaman penduduk.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan berkata, ke semua mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap yang dibuka jam 10 pagi pada Jumaat.
Katanya kesemua mangsa merupakan penduduk di Kampung Batu 8 dan 9 Changkat Jong, Kampung Batu 7 1/2 Jalan Changkat Jong dan Kampung Batu 11 1/2 Jalan Bidor.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak dalam kenyataan sama memaklumkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dan Stor JPS Teluk Intan (RHN) telah melepasi paras merbahaya dengan masing-masing berada pada paras 3.58 dan 4.94 meter.


