KUALA LUMPUR – Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bersiap siaga menghadapi peningkatan trafik dengan jumlah kenderaan dijangka melebihi 160,000 sehari sepanjang musim perayaan Deepavali bermula Ahad ini.
Peningkatan trafik itu dijangka susulan pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman dan menuju ke destinasi percutian sempena cuti hujung minggu panjang, termasuk cuti umum gantian pada Isnin, 9 November.
Menurut WCE, unjuran itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 3.28 juta kenderaan yang dijangka menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara pada hari-hari puncak perayaan berdasarkan ramalan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Sehubungan itu, WCE mengambil langkah kesiapsiagaan operasi dengan memberi tumpuan kepada pengurusan trafik serta memastikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dapat disalurkan dengan segera.
Sebagai sebahagian daripada persiapan, kerja pembinaan dan penyelenggaraan yang memerlukan penutupan lorong akan ditangguhkan sementara dari 6 hingga 10 November ini, kecuali kerja pembaikan segera atau kecemasan.
Pasukan peronda lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) turut berada dalam keadaan siap siaga sepanjang masa, dengan sokongan trak tunda yang ditempatkan di lokasi strategik bagi mempercepatkan bantuan sekiranya berlaku kerosakan kenderaan atau insiden trafik.
Dalam pada itu, WCE menyambut baik pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada kenderaan Kelas 1 yang layak pada 6 dan 7 November ini bagi membantu mengurangkan kos perjalanan pengguna lebuh raya.
Pengarah Urusan Lebuhraya WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, kerjasama dan sikap bertanggungjawab pengguna jalan raya penting bagi memastikan perjalanan lebih selamat sepanjang musim perayaan.
“Pasukan operasi kami telah bersedia untuk menghadapi peningkatan trafik sepanjang tempoh ini. Namun begitu, keselamatan di jalan raya turut bergantung kepada sikap dan tindakan setiap pemandu.
“Justeru, kami menggalakkan pengguna agar merancang masa perjalanan, sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling serta mengamalkan sikap bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Bagi membantu pengguna merancang perjalanan, WCE turut menggalakkan penggunaan aplikasi mudah alih WCE App yang menyediakan maklumat trafik masa nyata, paparan kamera litar tertutup (CCTV), panduan laluan serta maklumat kemudahan lebuh raya.
Aplikasi itu turut dilengkapi ciri bantuan kecerdasan buatan (AI), selain menyediakan maklumat mengenai stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), tempat berteduh motosikal dan telefon kecemasan.
Pengguna juga boleh memanfaatkan kemudahan pembayaran tol Touch ‘n Go PayDirect yang tersedia di semua plaza tol WCE, membolehkan caj tol ditolak terus daripada baki e-dompet yang dipautkan kepada kad pengguna.
Bagi perjalanan jarak jauh, enam kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya itu menyediakan kemudahan asas termasuk tempat letak kenderaan, surau dan tandas.
Kemudahan gerai makanan turut disediakan di lokasi terpilih termasuk R&R Sungai Nyior bagi kedua-dua arah serta R&R Bukit Kapar arah utara.
WCE turut mengingatkan pengguna supaya melakukan pemeriksaan asas kenderaan, mematuhi had laju, mengekalkan jarak selamat serta memastikan semua penumpang memakai tali pinggang keledar dan kanak-kanak menggunakan kerusi keselamatan bersesuaian.
Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak memandu ketika letih, sebaliknya berhenti berehat di kawasan R&R atau hentian sebelah yang disediakan. – Malaysiagazette


