KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan kebebasan media di negara ini susulan kedudukan Malaysia jatuh tujuh anak tangga kepada tangga ke-95 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026.
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, perkembangan itu perlu diberi perhatian serius kerana turut mencetuskan persoalan mengenai ketelusan kawal selia kandungan dalam talian, termasuk dakwaan sekatan algoritma atau ‘shadow ban’ terhadap suara-suara kritis.
Menurutnya, BN tidak menolak keperluan penguatkuasaan bagi membanteras penipuan kewangan, pornografi dan perjudian haram dalam talian, namun tindakan berkenaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyekat kritikan politik atau perbahasan dasar yang sah.
Beliau yang mewakili ahli-ahli Parlimen BN berkata, berdasarkan data Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 oleh Reporters Without Borders (RSF), penunjuk ekonomi media siber domestik Malaysia berada pada paras 40.28 mata, manakala penunjuk konteks politik merosot kepada 43 mata.
Katanya, angka itu menunjukkan keperluan kepada mekanisme semak dan imbang yang lebih menyeluruh bagi memastikan kebebasan akhbar serta kredibiliti ekosistem maklumat negara terus terpelihara.
Malah, katanya, laporan ketelusan platform digital utama seperti TikTok turut menunjukkan Malaysia berada dalam kelompok negara yang merekodkan permintaan penurunan kandungan yang tinggi bagi tempoh selepas 2023 hingga pertengahan 2024.
Mengulas tindakan penurunan kandungan, Manndzri berkata, berdasarkan Penyata Rasmi (hansard) Dewan Rakyat pada 28 Oktober lalu, sebanyak 56,304 daripada 65,680 permintaan penurunan kandungan maklumat palsu dan memudaratkan bagi tempoh Januari 2023 hingga Oktober tahun ini telah dilaksanakan platform terbabit.
Jelasnya, jumlah itu menuntut penelitian lebih mendalam Parlimen bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak melangkaui batas sehingga menjejaskan hak rakyat untuk menyuarakan pandangan.
“Perbezaan antara kandungan jenayah komersial seperti penipuan dan perjudian dengan kritikan politik atau perbahasan dasar yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan mesti dipisahkan secara mutlak.
“Pendekatan penurunan kandungan di luar aturan mahkamah sivil juga hendaklah diminimumkan bagi mengelakkan implikasi salah guna kuasa eksekutif,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) serta peruntukan pelesenan platform tidak seharusnya mewujudkan kesan ketakutan terhadap pengamal media dan industri digital.
Katanya, kuasa kawal selia serta ancaman denda tinggi tidak boleh menjadi tekanan tidak langsung kepada penyedia platform sehingga mereka mengambil pendekatan menapis perbahasan awam bagi mengelakkan tindakan terhadap lesen operasi.
Dalam pada itu, Manndzri membangkitkan kelemahan kepakaran forensik digital tempatan susulan laporan keselamatan global Anthropic Threat Report September 2026 yang mendedahkan operasi manipulasi maklumat siber menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) asing.
Operasi itu didakwa melibatkan penggunaan akaun palsu dan portal rekaan bagi membina profil pengundi Malaysia.
Menurutnya, kebergantungan kepada penemuan firma teknologi luar untuk mengesan operasi seumpama itu menunjukkan jurang kepakaran keselamatan siber domestik perlu ditangani segera.
Sehubungan itu, BN mengemukakan desakan supaya kerajaan memastikan agenda keselamatan digital tidak disalahgunakan sebagai alasan untuk menekan demokrasi, menyekat kebebasan media atau memadamkan suara semak dan imbang.
BN turut menegaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu kekal sebagai badan pengawal selia yang berkecuali, berintegriti tinggi serta bebas daripada sebarang agenda politik kepartian.
Menurutnya, setiap tindakan kawal selia perlu berasaskan ketelusan dan kepentingan keselamatan negara, bukannya dipengaruhi kepentingan politik mana-mana pihak. – MalaysiaGazette


