ASEAN tiada kuasa hukum negara punca jerebu, Malaysia pilih diplomasi

KUALA LUMPUR – Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan terhadap negara anggota yang terlibat menjadi punca jerebu rentas sempadan.

Perjanjian itu juga menurut Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh tidak membolehkan tuntutan ganti rugi dikenakan terhadap pihak yang menyebabkan pencemaran jerebu.

Katanya, perjanjian yang sudah berusia lebih dua dekad itu bagaimanapun masih relevan sebagai kerangka kerjasama serantau berasaskan prinsip konsensus, kerjasama dan penghormatan terhadap kedaulatan negara anggota ASEAN.

“Perjanjian ini tidak memperuntukkan mekanisme penguatkuasaan antara negara ataupun tuntutan ganti rugi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) di Dewan Rakyat.

Rodiyah meminta penjelasan kerajaan mengenai keberkesanan AATHP yang dilihat gagal menghalang kejadian jerebu berulang, selain sama ada Malaysia bercadang mendesak semakan semula perjanjian itu bagi membolehkan tindakan lebih tegas terhadap negara atau syarikat yang menjadi punca pencemaran.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, tanggungjawab penguatkuasaan terhadap pihak yang menyebabkan kebakaran tertakluk kepada bidang kuasa serta undang-undang domestik negara berkenaan.

Katanya, sebarang cadangan memperkenalkan mekanisme penguatkuasaan atau tuntutan ganti rugi memerlukan penelitian menyeluruh dari sudut perundangan, bidang kuasa, hubungan diplomatik dan pembuktian saintifik.

Sehubungan itu, Malaysia berusaha memperkukuh keberkesanan perjanjian berkenaan menerusi Second ASEAN Haze Free Roadmap 2023-2030 dan ASEAN Peatland Management Strategy 2023-2030.

Beliau berkata, dua cadangan turut dikemukakan iaitu mekanisme diplomasi sains dan dana jerebu mampan yang dibentangkan dalam mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) serta Jawatankuasa Pemandu Menteri (MSC) di Bali pada Julai lalu.

“Perkara ini juga akan diteliti oleh Sekretariat ASEAN untuk dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan di Vietnam pada bulan Disember ini,” katanya.

Menjawab soalan Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung pengurusan tanah gambut, Syed Ibrahim berkata, kerajaan menggunakan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan serta prosedur operasi standard pencegahan kebakaran tanah gambut sebagai panduan menangani risiko kebakaran.

Katanya, kaedah membanjiri kawasan tanah gambut bagi memadamkan bara api turut diberi perhatian, termasuk melalui penyelidikan universiti dan perbincangan di peringkat kementerian.

Mengenai pendekatan Singapura dalam menangani isu jerebu rentas sempadan, beliau berkata, Malaysia memilih pendekatan diplomasi dalam hubungan dengan negara anggota ASEAN bagi mengelakkan ketegangan antara negara.

“Kita masih lagi menekankan diplomasi. Kuasa diplomasi,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ibrahim berkata, fenomena El Niño yang dijangka berterusan sehingga awal 2027 berpotensi meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan kejadian jerebu.

Justeru, kerajaan akan memperkukuh langkah pencegahan, pengesanan awal, penguatkuasaan serta kesiapsiagaan operasi bagi mengurangkan risiko berkenaan dan melindungi kesihatan rakyat. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI