TELUK INTAN – Seorang penyelia syarikat berusia 35 tahun mengalami kerugian kira-kira RM143,599.90 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud menerusi iklan di media sosial.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rabu daripada mangsa yang merupakan lelaki tempatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa telah tertarik dengan iklan pelaburan saham yang dipaparkan di media sosial sebelum dihubungi individu yang menyamar sebagai ejen pelaburan.
“Mangsa kemudian diperdaya untuk membuat beberapa transaksi pemindahan wang ke akaun bank yang diberikan suspek.
“Mangsa turut diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan yang memaparkan keuntungan lumayan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, bagaimanapun, lelaki itu mula menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan wang modal serta keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi berkenaan.
Mohd Alwi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan dan mengenal pasti individu yang terlibat dalam kegiatan penipuan ini,” katanya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


