IPOH – Kementerian Digital sedang berusaha memberikan penekanan dan fokus kepada pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya mereka dapat mengadaptasi teknologi digital dalam perniagaan masing-masing.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ini kira-kira 97 peratus daripada peniagaan disumbangkan oleh PMKS dan ia sebahagian yang cukup besar dalam membantu menggerakkan ekonomi digital di Malaysia.
Menurutnya, menerusi platform-platform digital sedia ada PMKS boleh memperkasakan perniagaan mereka namun masih ada yang dilihat kurang minat untuk menggunakan teknologi baru ini.
“Justeru, kalau kita ingin memastikan sasaran ekonomi digital sampai ke tahap 25.5 peratus bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini, salah satu aspek yang perlu dilakukan adalah meyakinkan PMKS untuk mengambil bahagian dalam industri ataupun perniagaan digital,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital @ Perak di Hotel Lost World di di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.
Dalam perkembangan berkaitan, Gobind memaklumkan bagi memastikan PMKS dapat mengadaptasi teknologi tersebut pihaknya akan berkolaborasi dengan kerajaan negeri pada tahun ini.
“Kita boleh mulakan program berkaitan bagi mengenal pasti apakah punca sebenar yang menyebabkan peniaga kurang yakin untuk menggunakan teknologi tersebut.
“Selepas itu, maklum balas mahu pun cadangan dikemukakan pelbagai pihak akan dibawa pulang ke kementerian untuk diteliti bagi memastikan hasrat kerajaan dapat dicapai dari sudut pendigitalan PMKS,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada isu keselamatan siber menjadi punca PMKS kurang berminat ke arah digitalisasi perniagaan, Gobind menjelaskan pihaknya mengambil kira semua aspek dalam usaha pendigitalan PMKS.
“Kita akan pastikan platform digital yang ada selamat. Memang ada masalah-masalah tertentu seperti scam dan sebagainya.
“Kerajaan akan mewujudkan satu ekosistem yang dapat memastikan bahawa masalah-masalah ini dapat dibendung pada masa sama akan berikan keyakinan kepada semua untuk menggunakan platform tersebut untuk memperkasakan lagi perniagaan mereka,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Harap isu kelewatan MyDigital ID selesai dalam masa terdekat – Gobind