PUTRAJAYA – Negara digesa melabur dalam meningkatkan aspek kepolisan moden bagi memacu dan mencegah jenayah daripada segi penguatkuasaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan pelaksanaan moden berteraskan teknologi, kenderaan polis yang banyak di sesuatu lokasi tidak lagi praktikal untuk digerakkan.
“Di dalam sistem pengawasan menggunakan acuan Interpol dan ASEANAPOL (Kerjasama Polis ASEAN) saya yakin modes operandi yang digunakan mengikut alat yang telah banyak modifikasikan.
“Saya yakin kepolisan moden tidak lagi harus dengan meramaikan mereka yang beruniform berada di lokasi tertentu tetapi lebih kepada peralatan,” katanya kepada media, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian selepas merasmikan Pameran Asia International Security Summit & Expo 2025 (AISSE’25) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Jelas Ahmad Zahid, langkah itu juga perlu disegerakan memandangkan aktiviti jenayah moden juga sudah mengorak langkah dalam mempertingkatkan keupayaan mereka.
“Tindakan segera dalam memacu pencegahan dan penguatkuasaan hendaklah disingkatkan, terdapat negara maju yang mempunyai CCTV berdefinisi tinggi yang dipasang di setiap 50 meter di kawasan yang sensitif.
“Walaupun kita yakin dengan PDRM, dan juga ASEANAPOL untuk seluruh negara ASEAN, tetapi kita yakin bahawa penjenayah jenayah moden juga telah mempertingkatkan keupayaan mereka, maka pihak penguatkuasaan mesti melebihi kemampuan mereka berbanding penjenayah sama ada jenayah terancang atau jenayah individu,” jelasnya.
Dalam ucapan perasmian AISSE’25, Ahmad Zahid berkata, Malaysia menyokong cadangan untuk menubuhkan Pasukan Petugas Jenayah Siber ASEAN.
Beliau berkata, pasukan petugas jenayah siber itu akan berfungsi seperti Interpol untuk memudahkan pertukaran maklumat risikan secara masa nyata dan kerjasama serantau dalam memerangi ancaman digital dengan berkesan.
“Jenayah siber kekal sebagai salah satu ancaman keselamatan yang paling ketara. Sepanjang tahun lalu, Malaysia melaporkan kerugian kewangan melebihi RM1.22 bilion akibat jenayah siber dan mengesan berjuta-juta ancaman siber.
“Ini mengukuhkan keperluan mendesak untuk mempertingkatkan daya tahan siber serta langkah keselamatan siber yang proaktif,” katanya. – MalaysiaGazette