IPOH – Kerajaan Negeri Perak bersedia untuk memudah cara segala keperluan bagi memastikan projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dekat sini dapat direalisasikan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia termasuk dalam kerja-kerja pelebaran landasan lapangan terbang yang melibatkan tanah seluas lebih 10 hektar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang berhampiran.
“Kita akan berbincang agar PKNP dapat memainkan peranan penting (dalam projek ini) supaya kita tidak perlu membuat pengambilan tanah lain.
“Dan sekiranya kita rasa ada keperluan untuk menggantikan tanah lain kepada PKNP, kita juga akan melihat ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jualan Rumah Perakku Pangsapuri Raflesia Santorini@Botani, di Bandar Seri Botani, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori; Ketua Pegawai Eksekutif LPHP, Mohamed Akmal Dahalan serta Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Miclebina, Ting Chee Ming.
Pada Jumaat media melaporkan, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi pelaksanaan projek menaik taraf dan pelebaran LTSAS.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata kos berkenaan meliputi RM8 juta untuk fasa pertama sementara baki RM52 juta bagi fasa kedua.
Beliau berkata, menerusi peruntukan berkenaan, LTSAS dijangka mampu menampung kapasiti tidak kurang daripada 700,000 penumpang setahun berbanding 500,000 penumpang pada masa ini.
Mengulas lanjut Saarani berkata, Perak menyambut baik pengumuman berkenaan dan menyokong penuh hasrat Persekutuan dalam usaha menaik taraf LTSAS.
Beliau berkata, kerajaan negeri yakin inisiatif yang digerakkan itu akan mampu menarik lebih banyak penerbangan antarabangsa dari negara lain ke Bandar Raya Ipoh.
“Saya percaya pihak-pihak berkaitan sedang dalam usaha menarik minat lebih banyak penerbangan antarabangsa seperti dari Hong Kong, dan seterusnya akan memperhebatkan LTSAS sebagai lapangan terbang antarabangsa.
“Apabila direalisasikan (naik taraf), maka segala fasiliti dan kemudahan yang ada perlu sama taraf dengan sebuah lapangan terbang antarabangsa lain,” jelasnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak berhasrat jadikan LTSAS sebagai lapangan terbang serantau