Perak berhasrat jadikan LTSAS sebagai lapangan terbang serantau

BATU GAJAH – Kerajaan Negeri Perak, berhasrat menjadikan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, sebagai lapangan terbang serantau melibatkan penerbangan jangka masa pendek sekitar tiga hingga lima jam.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Seri Iskandar merupakan rancangan jangka masa panjang.

Beliau berkata, justeru itu, sementara menunggu cadangan berkenaan mendapat kelulusan dan dibangunkan, kerajaan negeri melihat LTSAS perlu dinaik taraf kepada lapangan terbang serantau.

“Bagi perancangan jangka masa panjang kerajaan negeri bercadang untuk membina lapangan terbang di Seri Iskandar tetapi itu mungkin ambil masa 15 hingga 20 tahun.

“Yang paling logik sekarang adalah LTSAS yang sedia ada di Ipoh dan kerana itu kita bercadang untuk menjadikan ia sebagai lapangan terbang serantau melibatkan negara-negara Asean yang berhampiran dengan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pelancaran Dinosaur Park, Dinosaur Encounter@Silverlakes Village Outlet, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Loh berkata, meskipun terdapat beberapa pihak memaklumkan bahawa LTSAS tidak boleh digunakan bagi penerbangan jarak jauh, ianya melibatkan penggunaan pesawat Boeing 737 tetapi bukan pesawat jenis Airbus A319 dan A320.

Jelas beliau landasan LTAS sepanjang dua kilometer boleh digunakan untuk menerbangkan serta mendaratkan pesawat jenis tersebut.

“Sekarang banyak syarikat penerbangan di rantau Asean menggunakan kapal terbang jenis A319 dan A320 yang boleh terbang tiga hingga lima jam dan sesuai untuk landasan sepanjang dua kilometer.

“Kerana itu kerajaan negeri memberi cadangan agar LTSAS dinaik taraf kepada lapangan terbang serantau di mana kita menerima penerbangan dari negara-negara Asean berhampiran,” katanya.

Loh berkata, Kerajaan Negeri Perak juga telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain industri termasuklah daripada Thailand, namun ia belum dapat dilaksanakan memandangkan belum ada kelulusan dari Kerajaan Persekutuan.

“Kita harap adalah berita gembira memandangkan pembetulan sedang dibuat di Putrajaya dan Kementerian Pengangkutan kerana akhirnya kelulusan perlu datang dari Putrajaya,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Naik taraf LTSAS, Kerajaan Perak harap disegerakan

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI