PKH Enterprise jual kacang putih lebih 30 tahun, diwarisi 3 generasi

IPOH – Perniagaan kacang putih yang diwarisi sejak tiga generasi terus menjadi sumber rezeki PKH Enterprise berjaya bertahan lebih 30 tahun dalam industri makanan ringan tradisional di sini.

Produk keluaran syarikat itu juga memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pelanggan beragama Islam untuk menikmati kacang putih tanpa rasa was-was.

Pemilik PKH Enterprise, K Ponnuthurai, 57, berkata, sejarah perniagaan itu bermula daripada usaha bapanya yang membantu bapa saudaranya selepas dibawa dari India sebelum diwariskan kepadanya dan kini legasi disambung oleh anaknya.

PKH Enterprise jual kacang putih lebih 30 tahun, diwarisi 3 generasi
Antara sijil pengesahan halal yang dipamerkan di premis PKH Enterprise, Buntong, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 NOVEMBER 2026.

Menurutnya, keluarga mereka sebelum ini menetap di Gunung Cheroh sebelum berpindah ke lokasi perniagaan sekarang selepas kejadian batu kapur runtuh berhampiran sebuah kuil.

“Setiap kedai mempunyai keistimewaan tersendiri. Bagi kami, ada beberapa produk yang memang terkenal dan mendapat sambutan pelanggan. Ada pelanggan yang datang khusus untuk mencari produk tertentu di kedai kami.

“Kami menawarkan kira-kira 30 hingga 40 jenis produk kacang putih yang dihasilkan sendiri, termasuk pelbagai variasi perisa bagi sesuatu produk.

PKH Enterprise jual kacang putih lebih 30 tahun, diwarisi 3 generasi
Pengusaha PKH Enterprise, K. Ponnuthurai, 57, merupakan generasi ketiga meneruskan perniagaan keluarga dalam perusahaan makanan tradisional ketika ditemui di Kampung Kacang Puteh, Buntong, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 NOVEMBER 2026.

“Produk berasaskan ubi antara yang mempunyai beberapa pilihan perisa seperti asli, pedas dan keju, manakala produk campuran turut ditawarkan dalam beberapa variasi termasuk biasa, halus dan istimewa.

“Walaupun nama produknya sama, kami menawarkan pelbagai pilihan perisa. Ada yang biasa dan ada juga versi istimewa dengan rasa yang lebih sedap,” katanya ketika ditemui di premis perniagaannya di Kampung Kacang Putih, Buntong di sini, hari ini.

Dari segi harga, beliau berkata, produk kacang putih yang dijual di premis berkenaan masih ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding di kawasan lain kerana kebanyakan produk dihasilkan sendiri.

“Harga paling murah sekarang ialah RM14 sekilogram berbanding RM12 sekilogram pada tahun lalu. Lebih 30 tahun dahulu, saya pernah menjualnya pada harga sekitar RM3 sekilogram.

PKH Enterprise jual kacang putih lebih 30 tahun, diwarisi 3 generasi
PKH Enterprise yang terletak di Kampung Kacang Puteh, Buntong, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 NOVEMBER 2026.

“Selain kacang putih, kami turut menjual pelbagai barangan lain seperti biskut, roti, gula-gula, minuman dan keropok bagi memenuhi permintaan pelanggan,“ ujarnya.

Mengulas sambutan jualan sempena Deepavali, beliau berkata permintaan lazimnya meningkat dengan ketara dalam tempoh dua minggu sebelum perayaan berkenaan, khususnya bagi produk seperti muruku, kuih loyang dan pelbagai manisan tradisional.

Tambahnya, walaupun sambutan selepas Deepavali semakin berkurangan, masih terdapat pelanggan dari luar Ipoh yang membeli produk berkenaan sebagai buah tangan untuk diberikan kepada rakan sekerja, majikan dan kenalan.

“Jika pada hari biasa jualan berada sekitar 10 peratus, ketika musim perayaan ia boleh meningkat sehingga 50 peratus. Namun, selepas Deepavali, jualan akan menurun semula kepada paras biasa,” katanya.

PKH Enterprise jual kacang putih lebih 30 tahun, diwarisi 3 generasi
Pelbagai jenis manisan tradisional yang dijual di PKH Enterprise, Buntong, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 NOVEMBER 2026.

Menyentuh berhubung rancangan masa depan, Ponnuthurai berharap PKH Enterprise dapat terus berkembang dengan memperluas pasaran ke luar negara menerusi peningkatan kapasiti pengeluaran dengan penggunaan teknologi moden.

Katanya, anaknya yang kini mengambil alih perniagaan turut memperkenalkan penggunaan mesin automatik bagi mengurangkan kebergantungan kepada proses pengeluaran secara manual.

“Saya bermula dengan basikal, kemudian menggunakan motosikal dan van. Kini, anak saya sudah membeli lori dan menggunakan mesin yang lebih automatik. Kami juga sedang berusaha untuk menghantar produk ke luar negara,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Resipi ‘rahsia’ bubur lambuk lebih seabad tarikan Masjid India Muslim Ipoh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI