TELUK INTAN – Jumlah mangsa banjir meningkat kepada 413 orang membabitkan 123 keluarga yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak di sini, setakat jam 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak menerusi satu kenyataan berkata, peningkatan jumlah mangsa melibatkan mereka yang ditempatkan di PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) iaitu seramai 277 orang daripada 75 keluarga.
Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan bilangan mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan MPTI Langkap pula merekodkan penurunan sebanyak 136 orang melibatkan 39 keluarga.
“Mangsa banjir yang ditempatkan di kedua-dua pps itu terdiri daripada penduduk Kampung Batu 9 Changkat Jong, Kampung Batu 11½ Jalan Bidor, Kampung Batu 8 Changkat Jong Felcra, Kampung Batu 7½ Jalan Changkat Jong, Kampung Batu 10 Changkat Jong dan Ladang Moccis,” katanya hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak dalam kenyataan memaklumkan paras air Sungai Bidor di Changkat Jong dan Sungai Kinta di Tanjung Tualang melepasi paras merbahaya masing-masing dengan bacaan 3.53 dan 13.78 meter.
“Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak serta Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah masing-masing mencatatkan bacaan amaran iaitu 165.58 dan 9.08 meter,” ujarnya.
Katanya, paras air di Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang masih mengekalkan merekodkan bacaan waspada pada 22.08 meter. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Banjir Perak: Jumlah mangsa di Hilir Perak meningkat 389 orang


