TAIPING – Seorang lelaki ditemukan lemas ketika mandi bersama empat rakannya di Air Terjun Taman Suria, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.10 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping tiba di lokasi empat minit kemudian serta dibantu BBP Kamunting.
Menurutnya, jarak perjalanan dari balai ke lokasi kejadian dianggarkan sejauh tiga kilometer sehingga ke kawasan pemeriksaan (checkpoint), sebelum anggota perlu meneruskan perjalanan kira-kira satu kilometer melalui laluan lereng bukit untuk sampai ke kawasan air terjun.
“Setibanya di lokasi, mangsa didapati telah dibawa keluar oleh rakannya dan dibaringkan di kawasan batuan sungai yang rata.
“Berdasarkan maklumat saksi, mangsa bersama empat rakannya sedang mandi di kawasan air terjun sebelum kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak bomba kemudian melakukan penilaian awal di lokasi sebelum mengarahkan anggota memberikan bantuan kecemasan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya dibawa turun menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 4.20 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


