Banjir Perak: Rumah separuh ‘tenggelam’ di Changkat Jong

TELUK INTAN – Fenomena Monsun Timur Laut (MTL) menyaksikan beberapa kawasan yang sering dilanda banjir di daerah Hilir Perak kembali dinaiki air susulan hujan berterusan sejak Jumaat lalu.

Tinjauan Malaysia Gazette Perak (MG Perak) di beberapa lokasi mendapati limpahan air berlaku di sekitar Changkat Jong dan Jalan Bidor, menyebabkan kediaman penduduk di kawasan berkenaan terjejas akibat peningkatan paras air.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Batu 7 ½ Jalan Changkat Jong (Felcra), Kampung Batu 8, Kampung Batu 9, Kampung Batu 10 dan Ladang Moccis yang terletak di Changkat Jong.

Selain itu, Kampung Batu 11 ½ di Jalan Bidor turut mengalami limpahan air susulan peningkatan paras sungai.

Banjir Perak: Rumah separuh ‘tenggelam’ di Changkat Jong
Beberapa penduduk meredah air banjir sambil membawa barangan keperluan ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette (MG) Perak di Kampung Changkat Jong, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 NOVEMBER 2026.

Kejadian banjir itu dipercayai berpunca daripada pertembungan aliran Sungai Bidor dan Sungai Sungkai di Kuala Changkat Jong sehingga menyebabkan air melimpah ke kawasan rendah serta penempatan berhampiran.

Tinjauan sama mendapati, beberapa kediaman penduduk hampir separuh ditenggelami air termasuk premis perniagaan manakala kenderaan termasuk kereta dan motosikal dipindahkan serta diletakkan di tepi jalan utama bagi mengelakkan kerosakan akibat banjir.

Bagaimanapun, paras air di beberapa lokasi dilihat mula menunjukkan sedikit penyusutan berbanding sebelumnya, meskipun masih terdapat kawasan yang dinaiki air.

Susulan kejadian itu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak Jumaat lalu, masing-masing di Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan Dewan MPTI Langkap bagi menempatkan mangsa banjir yang terjejas.

Banjir Perak: Rumah separuh ‘tenggelam’ di Changkat Jong
Penduduk melihat keadaan kawasan kediaman mereka yang ditenggelami air banjir di sekitar Kampung Changkat Jong, Teluk Intan. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 NOVEMBER 2026.

Bagaimanapun, keadaan cuaca masih belum menunjukkan perubahan ketara apabila hujan terus berterusan di beberapa kawasan petang ini.

Situasi itu, secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk berikutan kemungkinan paras air meningkat semula sekiranya hujan berterusan.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak menerusi satu kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa banjir setakat jam 8 malam ini adalah seramai 409 orang melibatkan 122 keluarga ditempatkan di kedua-dua PPS tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Banjir Perak: Jumlah mangsa di Hilir Perak meningkat 389 orang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI