MB Perak hasrat anjur Karnival Sukan Anak Muda Orang Asli tahun depan

TAPAH – Kerajaan Negeri Perak berhasrat menganjurkan Karnival Sukan Anak Muda Orang Asli pada tahun depan sebagai usaha mencungkil dan mengembangkan bakat sukan dalam kalangan generasi muda masyarakat itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, penganjuran karnival berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada sukan bola sepak, sebaliknya turut merangkumi pelbagai acara lain antaranya badminton, sepak takraw dan bola tampar.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memberi peluang kepada anak muda Orang Asli mengembangkan potensi masing-masing sehingga mampu mewakili negeri dan negara dalam pertandingan sukan di peringkat lebih tinggi.

“Kalau cukup kekuatan tenaga kerja, tahun depan kita buat Karnival Sukan Anak Muda Orang Asli.

“Bila saya sebut karnival sukan, ia bukan sahaja berkaitan bola sepak tetapi kita juga mahu mencari bakat pemain badminton. Kita hendak tengok orang Asli mewakili Malaysia dalam pertandingan badminton di seluruh dunia,” katanya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Perasmian Himpunan ‘Mai Hik’ Negeri Perak 2026 di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji, Tapah, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 NOVEMBER 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan ‘Mai Hik’ Negeri Perak 2026 di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji, di sini pada Sabtu.

Saarani berkata, potensi anak muda Orang Asli dalam sukan turut dapat dilihat menerusi pasukan sepak takraw negeri Pahang yang dibarisi sepenuhnya pemain daripada masyarakat itu ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor 2026.

Katanya, kejayaan pasukan berkenaan membuktikan masyarakat Orang Asli mempunyai bakat besar dalam bidang sukan sekiranya diberikan peluang, latihan dan bimbingan yang bersesuaian.

“Saya tanya bagaimana mereka buat, mereka beritahu mempunyai pusat latihan.

“Kita juga ada pusat latihan khusus di Kampung Baung, Sungai Siput. Saya harap selepas ini kita dapat mencari bakat-bakat yang boleh bermain sepak takraw, bola tampar dan pelbagai sukan lain,” katanya.

Aksi pemain wanita pada Kejohanan Bola Sepak Wanita sempena Program Himpunan ‘Mai Hik’ Negeri Perak 2026 di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji, Tapah, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 NOVEMBER 2026.

Beliau berkata, usaha mencungkil bakat itu perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan lebih ramai anak muda Orang Asli berpeluang menyerlah dalam bidang sukan, sekali gus mengharumkan nama Perak dan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin masyarakat termasuk tok batin dapat memainkan peranan menyampaikan hasrat berkenaan kepada penduduk kampung supaya lebih ramai anak muda tampil menyertai program pembangunan sukan yang bakal dilaksanakan.

“Saya harap orang muda yang ada di hadapan saya ini balik nanti asah bakat masing-masing. Kita cari kemahiran yang baik dan kembangkan.

“Tok-tok batin, balik beritahu orang kampung, Menteri Besar sudah isytihar tahun depan kita akan buat Karnival Sukan Anak Muda Orang Asli,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI