IPOH – Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin mendahului senarai 218 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-70 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tahun ini.
Anis Rizana, 57, yang menggalas tugas bermula 9 Mac lalu itu dianugerahkan darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman menerima Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, manakala Akauntan Negara, Nasran Omar dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.
Senarai penerima tersebut diumumkan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin ketika sidang media Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Ayob Hashim serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Pada masa sama, seramai 14 individu dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk, termasuk Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng Shy Ching.
Turut menerima DPMP, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Halizah Sipun; Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah; Pengurus Besar Lembaga Air Perak (LAP), Ir. Lokman Abd Rahim serta, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri, Mohd Azhar Mohd Yusof.
Selain itu, penerima pingat sama termasuk, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar; Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri, Ir. Zamri Mat Kasim serta, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), DR Arul Rajoo.
Mohd Zahidi memberitahu, Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada lapan orang penerima antaranya, Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari; serta Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.
Sementara itu, kata beliau, 10 individu menerima Darjah Ahli Paduka Cura Si Manja Kini (PCM), Darjah Ahli Paduka Mahkota Perak (PMP) (28), Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) (18), Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) (47), Pingat Pekerti Terpilih (PPT) (49), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (31) dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) 10 penerima.
Menurut beliau, Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan berlangsung pada 15 dan 21 November di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
“Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Perak pada tahun ini dikurniakan kepada mereka yang benar-benar layak, banyak berjasa kepada negeri Perak dan mengharumkan nama negeri, serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja,” katanya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:


