Upah RM12,600 seludup ganja, lelaki Singapura dicekup di lapangan terbang

IPOH – Seorang lelaki warga Singapura yang dijanjikan upah sebanyak SGD4,000 (lebih RM12,600) untuk membawa sebuah bagasi ke London, England, ditahan selepas disyaki menjadi keldai dadah di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini, Ahad lalu.

Suspek yang merupakan penganggur berusia 29 tahun itu ditahan selepas polis menemukan 19.04 kilogram dadah disyaki bunga ganja bernilai RM1.52 juta di dalam bagasi dibawanya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kegiatan itu terbongkar kira-kira ja. 6.20 pagi apabila anggota polis bantuan LTSAS mengesan bagasi mencurigakan ketika menjalankan pemeriksaan di kaunter daftar masuk.

Menurutnya, suspek ketika itu dijadualkan menaiki penerbangan dari Ipoh ke Singapura sebagai lokasi transit sebelum meneruskan perjalanan ke London.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap sebuah bagasi berzip menemukan 36 bungkusan plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi ketulan daun kering disyaki bunga ganja.

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,523,200 dan jumlah itu boleh merosakkan seramai 47,900 pengguna,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, pada Selasa.

Mohd Alwi berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terpedaya dengan tawaran pekerjaan melalui sebuah laman web yang menjanjikan bayaran lumayan untuk membawa bagasi didakwa mengandungi barangan tiruan berjenama mewah ke London.

Kata beliau, suspek terlebih dahulu menaiki penerbangan dari Singapura ke Kuala Lumpur sebelum menginap di sebuah hotel di Kajang, Selangor.

Beliau berkata, polis percaya suspek kemudian bertemu pembekal dan memperoleh bekalan dadah berkenaan di Lembah Klang sebelum menaiki kenderaan e-hailing ke Ipoh serta menginap di sebuah hotel di bandar raya ini.

“Sindiket pengedaran dadah kini dilihat cenderung menggunakan lapangan terbang yang kurang sibuk seperti di Ipoh untuk menjalankan kegiatan penyeludupan.

“Suspek memilih penerbangan dari Ipoh ke Singapura yang mempunyai laluan penerbangan ke London dan sekiranya bagasi itu berjaya didaftarkan serta melepasi pemeriksaan, ia boleh diteruskan ke destinasi akhir,” katanya.

Tambah beliau, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan memperdaya individu melalui tawaran pekerjaan bergaji lumayan sebelum memperalatkan mereka sebagai keldai dadah untuk membawa bekalan terlarang ke luar negara menggunakan penerbangan komersial.

Dalam pada itu, Mohd Alwi berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah, manakala semakan mendapati lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Jelas beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula 8 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” tegas beliau.  – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Lari SJR, pemandu positif dadah rempuh polis trafik

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI