Lari SJR, pemandu positif dadah rempuh polis trafik

IPOH – Seorang anggota polis trafik cedera selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Silibin, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian sekitar jam 9.45 pagi itu, anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sedang menjalankan SJR sebelum mengarahkan lelaki terbabit memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan.

Menurutnya, pemandu kereta berusia 29 tahun itu bagaimanapun tidak mematuhi arahan anggota polis, sebaliknya terus memecut meninggalkan lokasi.

“Anggota yang bertugas sempat mengelak daripada dirempuh sebelum tiga anggota trafik kemudiannya mengejar kenderaan tersebut.

“Apabila tiba di kawasan lampu isyarat berhampiran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, suspek telah memasuki lorong kiri sebelum membuat pusingan U secara tiba-tiba dan merempuh seorang anggota trafik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian melarikan diri ke arah Gunung Lang dan apabila tiba di kawasan berhampiran sebuah restoran makanan segera serta memandu melawan arus sebelum kereta terbabit terbabas di kawasan lampu isyarat Taman Wing Onn.

Lari SJR, pemandu positif dadah rempuh polis trafik
Kereta suspek yang terbabas selepas dipercayai melarikan diri dari SJR di Jalan Silibin, Ipoh pagi tadi. Foto Tular

“Suspek kemudiannya berjaya ditahan selepas kenderaan dipandunya itu terbabas,” katanya.

Muhammad Najib berkata, akibat kejadian itu, anggota trafik yang dirempuh mengalami kecederaan patah tangan kiri dan kaki kanan serta dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Semakan awal mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu manakala cukai jalan kenderaan terbabit telah tamat tempoh. Ujian saringan awal air kencing suspek turut didapati positif methamphetamine.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan anggota polis yang sedang menjalankan tugas serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri, anggota penguat kuasa dan pengguna jalan raya lain.

Terdahulu, tular video di aplikasi Threads memaparkan suspek bertindak memandu kereta jenis Honda Civic secara merbahaya serta melawan arus sebelum merempuh kereta lain di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Gunung Lang. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Tiga cedera, van bawa jururawat pelatih terbalik selepas bertembung kereta

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI