Tiga cedera, van bawa jururawat pelatih terbalik selepas bertembung kereta

IPOH – Tiga individu cedera selepas van dinaiki mereka terbalik selepas bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat antara Jalan Sultan Iskandar dan Jalan Sultan Yussof, di sini, pagi ini.

Difahamkan, van berkenaan yang membawa pelatih jururawat dalam perjalanan dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan menuju ke Klinik Kesihatan Buntong.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dalam kejadian sekitar jam 7.25 pagi itu, van yang dinaiki 11 individu dan seorang pemandu itu dalam perjalanan dari arah Pekan Baharu manakala kereta yang dipandu seorang individu datang dari arah Little India menghala ke Padang Ipoh.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila van tersebut dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat sebelum meneruskan perjalanan dan bertembung dengan sebuah kereta di tengah persimpangan.

“Akibat pelanggaran itu, van berkenaan terbalik dan tiga penumpang mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan manakala pemandu van, lapan lagi penumpang serta pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Najib meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.

Selain itu beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi lampu isyarat dan peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki maut terjatuh dari bangunan Pasar Besar Ipoh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI