Isu hospital di Perak sesak akan dibawa kepada Menteri Kesihatan

IPOH – Isu kesesakan hospital dan keperluan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan di Perak akan dibawa kepada Menteri Kesihatan dalam satu pertemuan yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A. Sivanesan berkata, beberapa permasalahan yang dihadapi hospital di negeri ini perlu diberi perhatian bagi memastikan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.

Menurut beliau, antara perkara yang perlu diteliti adalah cabaran operasi hospital kerajaan, khususnya berkaitan kesesakan pesakit yang memberi tekanan kepada kapasiti kemudahan sedia ada.

Beliau berkata, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, merupakan antara fasiliti kesihatan yang berdepan cabaran berkenaan dan memerlukan perhatian dari aspek penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan.

“Saya baru bercakap dengan Pengarah HRPB dan kita semua tahu kesesakan yang berlaku di hospital berkenaan.

“Suka atau tidak, ada katil atau tiada katil, kita tetap perlu memberikan rawatan kepada pesakit. Jadi, kita perlu melihat bagaimana sistem penyampaian perkhidmatan ini boleh ditambah baik daripada keadaan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian program Perak Health Geoinnovation 2026 di Hotel Casuarina Meru, di sini.

Sivanesan berkata, hasil perbincangan serta dapatan program berkenaan akan diterjemahkan dalam bentuk laporan bertulis sebelum dikemukakan kepada Menteri Kesihatan dan pegawai kementerian untuk penelitian lanjut.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan cadangan yang dikemukakan bukan sekadar pandangan umum, sebaliknya berdasarkan input dan kepakaran pihak berkaitan dalam sektor kesihatan.

Sivanesan berkata, tanggapan bahawa sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan masih tidak memuaskan perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi petugas kesihatan dalam mengendalikan jumlah pesakit yang ramai setiap hari.

“Kita tidak menafikan ada pelbagai teguran dan komen menerusi media sosial yang menuding jari kepada agensi kerajaan, khususnya unit kesihatan, berhubung sistem penyampaian perkhidmatan yang dikatakan masih tidak memuaskan.

“Namun, mereka juga perlu melihat fakta dan memahami mengapa kelewatan itu berlaku,” katanya. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI