GOPENG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Dataran Sungai Jahang, Kampung Jahang di sini sejak Isnin lalu ditemukan lemas, pada Selasa.
Mangsa, Muhammad Muiz Muhd Luqman ditemukan kira-kira lapan kilometer (km) dari lokasi mangsa dipercayai hilang sekitar jam 10.29 pagi.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa ditemukan tersangkut pada kayu di tengah-tengah Sungai Jahang berhampiran kawasan Gua Tempurung.
“Kanak-kanak lelaki itu ditemukan di lokasi oleh empat anggota pasukan operasi dan menyelamat (SAR). Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kampar untuk tujuan bedah siasat bagi mendapatkan punca kematian pada jam 11.15 pagi,” katanya pada kenyataan Selasa.
Beliau berkata, mangsa sebelum itu datang bersama tiga keluarga dari Tronoh ke Kampung Jahang untuk melakukan aktiviti perkelahan.
Ujar Mohamad Nazri, keluarga mangsa kemudian menyedari kanak-kanak itu tidak berada di kawasan perkelahan sebelum bertindak cuba mencari mangsa di lokasi.
“Kali terakhir mangsa dilihat sedang bermain air di tepi sungai. Keluarga mangsa mengesyaki bahawa mangsa telah hanyut dibawa arus sungai yang agak deras.
“Kemudian keluarga mangsa telah menghubungi panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan pihak polis dan bomba,” jelasnya.
Dalam kenyataan berasingan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi SAR pada hari kedua bermula pada jam 8.30 pagi tadi.
Kata beliau, operasi melibatkan 10 ‘rafting’ dengan membabitkan 14 anggota JBPM, unit anjing pengesan JBPM (empat), polis (15), komuniti berakit redah jeram (30) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (lima).
“Operasi SAR difokuskan bermula dari Dataran Sungai Kampar di Jahang sehingga ke Jambatan Sungai Kampar, Kuala Dipang dengan jarak anggaran 10km.
“Ia dilaksanakan dengan menggunakan kaedah menelusuri aliran sungai dan pencarian di tebing sungai oleh unit K9,” ujarnya. – MG PERAK
Artikel Berkaitan:
Kanak-kanak lelaki dua tahun hilang selepas dipercayai terjatuh Sungai Jahang


