IPOH – Kilang pemprosesan dedak, stor permainan go kart serta sebuah rumah terlibat dalam kebakaran di tiga lokasi berbeza semalam dan awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian pertama melibatkan kilang pemprosesan dedak yang berlaku di Kawasan Perindustrian Gopeng, dekat sini malam tadi.
Menurutnya, seramai 24 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng serta bantuan dari BBP Simpang Pulai, Batu Gajah, Kampar, Pasir Puteh dan Ipoh digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan jam 10.40 malam.
“Ketika tiba di lokasi didapati sebuah kilang jenis kelas A, berkeluasan 80 x 40 kaki persegi terbakar 90 peratus dan dua buah forklift (trak angkat susun) turut terbakar 80 peratus serta tidak melibatkan mangsa.
“Kerja pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran hos bersumberkan air dari jentera bomba serta bantuan anggota dan jentera dari BBP Simpang Pulai, Batu Gajah, Kampar, Pasir Puteh dan water tanker dari BBP Ipoh sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Operasi terkawal pada jam 11.56 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 3.28 pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam kejadian kedua, Sabarodzi memaklumkan sebuah rumah mengalami kerosakan kecil selepas terlibat dalam kejadian kebakaran Bandar Universiti Seri Iskandar, dekat sini.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.53 pagi seramai tujuh anggota dari BBP Seri Iskandar bergegas ke lokasi.
“Sewaktu tiba di lokasi, didapati sebuah rumah kelas A berkeluasan 20 x 50 kaki persegi terbakar 15 peratus dan tidak melibatkan mangsa.
“Anggota bertugas bertindak melakukan kerja pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bersumberkan air dari jentera bomba sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
“Operasi terkawal pada jam 2.02 pagi dan tamat sepenuhnya jam 2.57 pagi,” jelasnya
Sementara itu, Sabarodzi berkata, kejadian ketiga melibatkan kebakaran sebuah stor permainan go kart yang musnah 80 peratus.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran yang berlaku bersebelahan pusat membeli belah Angsana Ipoh Mall, Jalan Hospital itu sekitar jam 4.39 pagi.
“Kebakaran melibatkan stor permainan go kart berkeluasan 20 x 80 kaki persegi dan tidak melibatkan mangsa.
“Anggota kemudiannya membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos, bersumberkan air dari pili bomba sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.
“Operasi yang melibatkan 14 orang anggota dari BBP Ipoh itu tamat sepenuhnya jam 5.26 pagi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Papan tanda Mydin Meru Raya terbakar 10 peratus