IPOH – Empat pelajar dan tiga pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipilih mengikuti Program ‘Qari in Residence’ sebagai imam di tiga negara sepanjang Ramadan 2025.
UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan, empat pelajar berkenaan merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan, manakala tiga lagi adalah pegawai universiti tersebut.
Menurut UPSI seorang pelajarnya, Muhammad Badrul Amin Derome diiringi Prof. Madya Dr Ibrahim Hashim dipilih untuk mengimamkan solat tarawih di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom.
“Manakala seorang lagi pelajar Muhammad Fathmi Izwan Rusli akan bertugas di Education Malaysia Australia (EMA), Sydney, Australia.
“Dua lagi pelajar iaitu Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan yang diiringi Prof. Dr Abdul Rahman Abd Ghani pula menyertai program berkenaan di Masjid Darul Ghurfan, Singapura,” katanya.
Tambahnya, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UPSI, Muhammad Safwan Ismail pula mengimamkan solat tarawih di Education Malaysia Australia, Perth, Australia.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kejayaan ini mencerminkan usaha berterusan universiti dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai nilai kepimpinan tinggi dalam komuniti Islam global.
“Saya berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, tetapi juga pusat yang menyemai bakat dalam bidang keagamaan dan kepimpinan.
“Pemilihan mereka adalah satu penghormatan besar yang menunjukkan kepercayaan dunia luar terhadap keupayaan pelajar dan kakitangan kami sekali gus memberi impak positif kepada mereka dalam membentuk jati diri dan kepimpinan yang mantap,” katanya dalam kenyataan sama.
Menurut Md Amin, UPSI melihat ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperluaskan jaringan IPTA berkenaan dengan pusat-pusat pengajian Islam di luar negara selain melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat tempatan dan persada antarabangsa.
“Mereka bukan sahaja akan berperanan sebagai imam, tetapi juga sebagai duta kecil yang memperkenalkan keindahan Islam dan budaya Malaysia kepada masyarakat luar.,” ujar beliau