IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mencatatkan peningkatan panggilan kecemasan membabitkan kes kebakaran susulan cuaca panas dan kering yang berlaku di negeri ini.
Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima sekurang-kurangnya 30 atau 40 panggilan sehari berhubung kebakaran melibatkan struktur dan belukar.
“Kalau sebelum ini kita menerima sekitar 20 lebih panggilan kecemasan berhubung kebakaran sehari, tapi sekarang terima antara 30 ke 40 ke atas panggilan ketika cuaca panas.
“Dalam minggu ini sahaja kita ada kebakaran besar seperti di Simpang Pulai melibatkan kilang dedak dan juga beberapa kebakaran struktur antaranya termasuklah rumah, rumah kedai dan bengkel.
“Kebelakangan ini memang banyak ada peningkatan (kebakaran) kerana faktor cuaca panas mungkin kebanyakan struktur yang terbakar itu turut melibatkan (binaan) separuh kayu, jadi bila struktur separuh kayu memang api merebak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya turut menerima panggilan berhubung kebakaran belukar berikutan cuaca panas tetapi masih berada dalam keadaan terkawal.
“Memang ada (kebakaran) melibatkan belukar tapi tidak melebihi dua ekar (0.8 hektar) dan mereka (anggota) akan lapor kepada saya setiap hari.
“Purata kebakaran belukar dalam dua ke tiga kejadian sehari dan tidak ada yang melebihi dua ekar, jadi maksudnya masih terkawal.
“Setakat ini, tiada lokasi hotspot kerana kejadian kebakaran yang berlaku boleh dikatakan sama rata. Kalau saya tengok setiap balai ada satu (panggilan kecemasan kebakaran) sama ada melibatkan struktur ataupun terbuka,” jelasnya.
Sementara itu, menyentuh berhubung penugasan anggota dan pegawai sepanjang bulan Ramadan, Sayani menjelaskan terdapat sedikit perubahan melibatkan jadual masa bekerja.
“Pada Ramadan ini ada sedikit perubahan pada jadual kerja. Kalau sebelum ini dari jam 8 pagi ke 8 malam, tetapi untuk memudahkan staf, mereka masuk kerja jam 9 pagi dan keluar 9 malam.
“Perubahan masa itu tidak menjejaskan operasi, cuma kita hendak menjaga kebajikan anggota untuk memudahkan mereka berbuka puasa dan kita anjakkan sedikit masa mereka bertugas.
“Bagaimanapun, dari segi jumlah masa bertugas itu sama tapi kita lewatkan sikit untuk bagi keselesaan kepada mereka sepanjang Ramadan ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Orang ramai digalakkan simpan alat pemadam api dalam kenderaan