Misi dagang Perak bawa prospek pelaburan RM1.6 bilion

IPOH – Misi Perdagangan dan Pelaburan Kerajaan Perak ke China berjaya membuka prospek serta komitmen pelaburan baharu bernilai lebih RM1.6 bilion, sekali gus memperkukuh keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi negeri ini sebagai destinasi ekonomi masa depan negara.

Prospek pelaburan berkenaan melibatkan sektor-sektor strategik bernilai tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), pusat data, tenaga hijau, automotif dan industri berteknologi tinggi membuktikan keyakinan syarikat global terhadap kestabilan serta hala tuju pembangunan negeri

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, komitmen pelaburan dalam bidang tersebut bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat khususnya anak-anak muda Perak.

“Kerajaan Negeri mahu memastikan Perak tidak sekadar menjadi destinasi pelaburan, tetapi muncul sebagai negeri yang mampu melahirkan ekosistem industri masa hadapan yang menawarkan peluang pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, antara pencapaian utama misi berkenaan ialah komitmen pelaburan bernilai RM1 bilion bagi pembangunan NexQuantum AI Digital Park @ SVTP susulan lawatan delegasi Kerajaan Negeri ke ibu pejabat Ennoconn di Kunshan dan Jiading Big Data Centre di Shanghai.

Jelas beliau, lawatan tersebut memberi pendedahan secara langsung kepada perkembangan teknologi AI, pusat data, infrastruktur digital dan ekosistem industri pintar yang sedang berkembang pesat di China.

“Pembangunan projek berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan Pasukan Petugas Pusat Data (Data Centre Task Force – DCTF) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Menteri Digital.

“Kerajaan Negeri sentiasa memastikan setiap cadangan pelaburan dilaksanakan secara tersusun, strategik dan mematuhi segala dasar serta peraturan yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam misi sama, Kerajaan Negeri turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama Strategik antara Perak SADC dan Shuifa Energy Group Co. Ltd. bagi meneroka pembangunan projek tenaga boleh baharu berkonsepkan floating aqua-voltaic berkapasiti 30 megawatt puncak di Tanjung Tualang.

Menurut Saarani, projek tersebut melibatkan prospek pelaburan antara RM180 juta hingga RM200 juta dalam tempoh tiga tahun dan dijangka memperkukuh agenda tenaga hijau negeri di samping mengoptimumkan penggunaan sumber air secara mampan.

Selain itu, syarikat Yantai Yatong Precision Mechanical Technology yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pembuatan komponen automotif turut memilih Perak sebagai lokasi kilang pertamanya di luar China dengan pelaburan bernilai RM160 juta di Tanjong Malim Hi-Tech Park.

“Ningbo Fresh Technology Co. Ltd. yang telah pun beroperasi di Tanjong Malim pula berhasrat mengembangkan operasinya melalui pelaburan tambahan bernilai RM263 juta bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan dan eksport,” katanya.

Beliau berkata, selain mengadakan pertemuan dengan syarikat strategik, Kerajaan Negeri melalui InvestPerak bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Shanghai turut memperluas rangkaian pelaburan menerusi sesi business pitching bersama lebih 100 pemain industri China. -MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI