KUALA LUMPUR – Kesemua 19 kru kapal MV VIVO ARYA yang karam di perairan Perak awal pagi tadi, berjaya diselamatkan meskipun operasi menyelamat berdepan cabaran keadaan laut bergelora.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan, kejadian itu dilaporkan berlaku jam 5.20 pagi apabila MV CARINA 23 menerima panggilan kecemasan daripada MV VIVO ARYA melalui radio VHF saluran 16 yang memaklumkan kapal tersebut sedang karam.
Menurutnya, maklumat kecemasan itu kemudiannya disalurkan kepada Penang Port Control pada jam 5.33 pagi.
Susulan kejadian itu, tambahnya, Pusat Kawalan Operasi Marin (MOCC) menghubungi Pusat Penyelarasan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya pada jam 6.15 pagi bagi mendapatkan bantuan operasi mencari dan menyelamat.
Ujarnya, JLM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, manakala MV YAO DE 8 dan MV YAO DE 1 diarahkan oleh MOCC untuk membantu usaha pencarian.
“Berdasarkan maklumat terkini, sembilan kru berjaya diselamatkan oleh MV VIVO DIYA, manakala sembilan lagi ditemukan di dalam sebuah rakit keselamatan (liferaft) sebelum diselamatkan oleh MV YAO DE 1.
“Seorang lagi kru turut berjaya diselamatkan oleh MV ORKIM GRORY, menjadikan kesemua 19 kru MV VIVO ARYA berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebagai langkah awal keselamatan pelayaran, JLM turut mengeluarkan hebahan amaran keselamatan pelayaran melalui sistem NAVTEX dan mewujudkan Alat Bantuan Pelayaran Maya (Virtual AtoN) bagi menandakan lokasi bangkai kapal MV VIVO ARYA.
Jelasnya, langkah itu bertujuan memberikan amaran awal kepada kapal-kapal yang melalui kawasan berkenaan, sekali gus mengurangkan risiko bahaya navigasi.
“JLM akan terus memantau perkembangan kejadian serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan pelayaran di kawasan terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette


