Usahanita Muallim pemangkin kebangkitan usahawan B40, ibu tunggal

TANJUNG MALIM – Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Daerah Muallim terus mempergiat usaha membantu wanita menjana pendapatan melalui keusahawanan, khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan ibu tunggal, menerusi bimbingan, akses kepada geran serta peluang memperluas pasaran produk.

Inisiatif itu memberi ruang kepada wanita untuk membina perniagaan sendiri, memanfaatkan kemahiran sedia ada dan meningkatkan taraf hidup keluarga melalui aktiviti ekonomi yang berpotensi menjana pendapatan secara berterusan.

Naib Ketua Usahanita Daerah Muallim, Mazwin Rubaizah Mazlan berkata, persatuan itu menjadi platform kepada usahawan wanita tempatan untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing, terutama perniagaan yang diusahakan dari rumah.

Menurutnya, Usahanita Daerah Muallim yang ditubuhkan pada 2019 kini mempunyai 35 ahli daripada pelbagai peringkat umur berusia antara 18 hingga 70 tahun.

“Kebanyakan ahli memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah dengan menghasilkan pelbagai produk, khususnya makanan seperti pes masakan, sambal dan makanan sedia dimakan (ready-to-eat).

Usahanita Muallim jadi pemangkin kebangkitan usahawan B40, ibu tunggal
Naib Ketua Usahanita Daerah Muallim, Mazwin Rubaizah Mazlan menunjukkan produk sedia dimakan buatan ahli persatuan tersebut. Foto Aniq Nabilafiq Anuar

“Selain itu, terdapat ahli yang menawarkan perkhidmatan dalam bidang agensi pelancongan, perundingan hartanah dan klinik, manakala penyertaan ahli baharu turut membuka ruang kepada pengembangan produk bukan makanan seperti sabun dan minyak wangi buatan sendiri,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette Perak (MG Perak) di sini baru-baru ini.

Bantu ahli dapat geran STeP, JPV, Jabatan Pertanian

Mazwin berkata, Usahanita turut membantu ahli mendapatkan maklumat mengenai peluang geran dan bantuan daripada agensi berkaitan.

“Ada ahli yang mendapat geran daripada Sekreteriat Usahawan Negeri Perak (STeP) malah ada juga yang mendapat geran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Pertanian.

“Pada masa sama, persatuan itu juga sedang berusaha mendapatkan sokongan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Kita akan beri sokongan dan bagi jalan macam mana untuk ahli mendapatkan geran, menaikkan produk dan cara pemasaran semua,“ ujarnya.

Usahanita Muallim jadi pemangkin kebangkitan usahawan B40, ibu tunggal
Produk Sambal Hitam Nenas hasil salah seorang ahli Usahanita Daerah Muallim yang diperkenalkan di Pavilion Perak sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) baru-baru ini. Foto Aniq Nabilafiq Anuar

Mazwin berkata, pendedahan melalui karnival dan pameran juga menjadi antara pendekatan untuk meningkatkan kebolehpasaran produk usahawan ahli persatuan berkenaan serta membantu mereka mengembangkan perniagaan melepasi pasaran setempat.

“Antara pencapaian yang membanggakan ialah pengenalan produk Sambal Hitam Nenas di Pavilion Perak sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) baru-baru ini.

“Pemilik produk berkenaan merupakan seorang ibu tunggal yang turut mendapat manfaat daripada sokongan jaringan keusahawanan persatuan itu,” jelasnya.

Cecah pendapatan RM3 juta

Katanya, peluang seperti itu penting bagi membantu wanita membina sumber pendapatan sendiri, meningkatkan keyakinan serta mengembangkan perniagaan secara berperingkat mengikut kemampuan masing-masing.

Dari segi pendapatan, beliau berkata, kebanyakan ahli yang menjalankan perniagaan kecil memperoleh sekitar RM2,000 sebulan dan ke atas.

Usahanita Muallim jadi pemangkin kebangkitan usahawan B40, ibu tunggal

Naib Ketua Usahanita Daerah Muallim, Mazwin Rubaizah Mazlan. Foto Aniq Nabilafiq Anuar

“Bagaimanapun, terdapat juga ahli yang mengusahakan perniagaan makanan yang terkenal di daerah Muallim, contohnya seperti Zul Mee Kari, Nasi Gulai Kawah. Pendapatan mereka secara tahunan lebih daripada RM3 juta setahun,” katanya.

Persatuan laksana kursus pemasaran digital

Dalam usaha memperkukuh kemahiran ahli, Mazwin memaklumkan bahawa persatuan tersebut turut memperoleh kelulusan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi pelaksanaan kursus pemasaran digital yang dirancang menggunakan peruntukan tahun depan.

Tambahnya, langkah itu dijangka membantu usahawan wanita memanfaatkan platform digital untuk mempromosikan produk, meluaskan capaian pelanggan dan meningkatkan daya saing perniagaan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Usaha berkenaan juga selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, khususnya dari sudut memperkukuh ekonomi rakyat, memperluas peluang keusahawanan serta meningkatkan kesejahteraan isi rumah melalui aktiviti ekonomi yang mampan.

Usahanita Muallim jadi pemangkin kebangkitan usahawan B40, ibu tunggal
Reruai Usahanita Daerah Muallim yang dibuka pada Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 7 Tahun 2026 di Dewan Seri Tanjong, Tanjung Malim, di sini baru-baru ini. Foto Aniq Nabilafiq Anuar

Pembangunan usahawan wanita bukan sahaja berpotensi menambah pendapatan keluarga, malah dapat membuka ruang pekerjaan, menggalakkan penghasilan produk tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti di Daerah Muallim.

Harap produk tembusi pasaran antarabangsa

Sehubungan itu, Mazwin berharap Usahanita Daerah Muallim dapat terus berkembang dan menarik lebih ramai wanita menyertai persatuan berkenaan, di samping membawa produk ahli ke pasaran yang lebih luas.

“Saya berharap persatuan ini lebih berkembang dan dapat membantu lebih ramai lagi usahawan-usahawan wanita di daerah Muallim memperkembangkan dan memperkenalkan produk mereka ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan serta berharap boleh berkembang ke luar negara,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Dari pisang goreng tepi jalan ke kedai makan, TVET ubah nasib Azabillah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI