IPOH – Bermula dengan hanya membantu ibu menjual pisang goreng di tepi jalan, Azabillah Farhana Ismail berjaya membuktikan bahawa kemahiran yang dipelajarinya menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu mengubah landskap kehidupan seseorang.
Kini, usahawan berusia 35 tahun itu mengusahakan perniagaan makanan di Medan Selera Dato’ Tahwil Azar atau lebih dikenali sebagai Taman Kanak-Kanak Gerbang Malam, di sini.
Menceritakan detik permulannya, Azabillah menceritakan bahawa latar belakang keluarganya yang serba kekurangan tidak menghalang beliau untuk menuntut ilmu di Perak Culinary Arts Academy @ Kolej Komuniti Chenderoh (PCAA@KKCP) Kuala Kangsar dalam bidang kulinari pada tahun 2011.
“Keluarga saya memang berniaga asalnya di tepi jalan sahaja. Emak saya berniaga pisang goreng sahaja dahulu.

“Selepas itu saya berniaga, ambil alih kedai emak saya dan daripada situ saya belajar sampailah ke tahap ini.
“Dahulu saya masuk kolej pun belanja mingguan hanya RM50 seminggu. Sewaktu belajar, saya cuba menambah pendapatan dengan menjual makanan seperti sandwic dan kuih-muih untuk dihantar ke kafe kolej,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak, di sini baru-baru ini.
Gilap kemahiran di hotel terkemuka
Berbekalkan Sijil Kulinari, beliau terus menimba pengalaman sejurus selepas tamat pengajian selamat dua tahun pada 2012.
“Saya mula mencari pengalaman di beberapa hotel terkemuka seperti Regalodge Hotel, Syuen Hotel dan Primula Hotel di Besut, Terengganu bagi memantapkan kemahiran dalam masakan Barat, Cina serta pembuatan pencuci mulut.

“Kemudian, pengalaman yang ditimba itu diterjemahkan melalui makanan yang dijual di kedai makan saya ini,” ujarnya.
Sasar RM1 juta jualan pada 2026
Selepas 14 tahun menjalankan perniagaan bazar Ramadan dan tiga tahun beroperasi di premis tetap, Azabillah menawarkan pelbagai menu termasuk makanan barat serta tarikan utamanya iaitu mi wantan itik.
“Tahun lalu, perniagaan saya berjaya meraih hasil jualan RM600,000 dan sasaran saya untuk tahun 2026 adalah untuk mencapai jualan sebanyak RM1 juta.
“Perniagaan kedai makan saya sudah masuk tahun ketiga dan saya turut menyimpan hasrat untuk menambah pendapatan dalam bisnes lain.

“InshaALLAH, saya dalam proses untuk buat bisnes hartanah seperti rumah dan bilik sewa, ‘homestay’, selain daripada perniagaan sedia ada,” ujarnya.
TVET platform terbaik buat belia
Mengulas mengenai kepentingan kemahiran, Azabillah menyeru golongan belia, terutama mereka yang kurang cemerlang dalam akademik, supaya tidak berputus asa dan memilih TVET sebagai platform untuk mempersiapkan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Untuk pelajar yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mereka boleh cuba menyertai pelbagai kursus kemahiran dalam TVET mengikut bidang yang diminati.
“Macam saya pilih bahagian kulinari dan sijil itu bukan tahap titik terendah kita. Itulah titik permulaan kita untuk sampai ke tahap ini.
“Kita hendak belajar, kena minat apa yang kita buat. Sebab itu saya beri nasihat kepada yang tidak minat hendak sambung belajar, boleh ambil kemahiran. Belajarlah, ilmu itu penting,” jelasnya.

Kisah Azabillah adalah contoh nyata bagaimana inisiatif TVET yang diperkasakan di bawah Agenda Perak Sejahtera 2030 mampu melahirkan usahawan berdaya saing yang mampu keluar daripada kepompong kemiskinan.
Hasil cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad itu juga telah menjalankan pelbagai inisiatif dengan meletakkan TVET antara tunjang utama kepada pembangunan modal insan dan ekonomi negeri. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Iqtiyani Ulfa tinggalkan ‘zon selesa‘, cabar diri ceburi perniagaan emas


