Iqtiyani Ulfa tinggalkan ‘zon selesa‘, cabar diri ceburi perniagaan emas

IPOH – Keberanian bekas penjawat awam meninggalkan kerjaya yang stabil demi mengejar impian sebagai usahawan membuka lembaran baharu dalam hidupnya apabila perniagaan kedai emas yang dibina sejak enam tahun lalu semakin kukuh dan berkembang.

Pemilik Kedai Emas Haifa, Iqtiyani Ulfa Mohd Azamee, 45, yang pernah berkhidmat sebagai pegawai aktuari di Kementerian Kewangan Malaysia selama 10 tahun, membuktikan bahawa peralihan daripada sektor awam ke bidang perniagaan merupakan satu keputusan yang tepat.

Menceritakan detik permulaannya, anak jati Batu Gajah ini mengakui tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang perniagaan kerana sudah terbiasa dengan fasa bekerja makan gaji namun  minat mendalam terhadap pelaburan emas akhirnya mengubah persepsi beliau.

Buka kedai emas waktu COVID-19

“Saya tak pernah terfikir untuk berniaga dan mindset (pemikiran) ketika itu hanya hendak makan gaji sampai pencen sebab kerja kerajaan. Tapi, saya memang berminat dengan investment (pelaburan) dan emas adalah salah satu bentuk pelaburan.

“Sewaktu bekerja dulu, saya memang ada simpan emas dan belajar macam mana untuk meniaga emas. Kemudian, saya membuat keputusan untuk membuka sebuah kedai emas di Taman Pengkalan Utama, Ipoh pada tahun 2020,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di sini, baru-baru ini.

Iqtiyani Ulfa tinggalkan ‘zon selesa‘, cabar diri ceburi perniagaan emas
Pemilik Kedai Emas Haifa, Iqtiyani Ulfa Mohd Azamee, 45, menyemak dokumen pentadbiran di pejabatnya di Taman Pengkalan Utama, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JULAI 2026.

Bagaimanapun, perniagaan kedai emas yang diusahakan ibu kepada tiga cahaya mata ini diuji apabila negara dilanda pandemik COVID-19.

“Masa itu memang mencabar sebab baru dua minggu renovasi, terus kena tutup. Namun, apabila operasi dibenarkan semula pada bulan Jun, saya dapati tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebenarnya membawa rezeki luar biasa kepada perniagaan emas.

“Kedai emas yang baru buka ataupun yang sudah lama, kecil atau besar itu menyaksikan orang ramai beralih kepada pelaburan emas memandangkan mereka tidak boleh melancong ke mana-mana.

“Kemudian, orang ramai turut memanfaatkan moratorium dengan menukarkan duit dalam bentuk emas. Pada masa itu, memang kedai emas penuh dengan pelanggan,“ ujarnya yang menamakan kedai emas tersebut sempena nama anak-anaknya.

Yayasan Perak tawar pinjaman tanpa faedah

Menyentuh mengenai modal, Iqtiyani Ulfa mengakui agak sukar untuk mendapatkan pinjaman bank pada peringkat permulaan kerana ketiadaan rekod perniagaan tetapi atas sokongan keluarga serta jaringan pembekal secara konsainan telah membantu kelangsungan bisnesnya.

Iqtiyani Ulfa tinggalkan ‘zon selesa‘, cabar diri ceburi perniagaan emas
Pelbagai koleksi cincin emas dipamerkan di ruang pameran Kedai Emas Haifa di Taman Pengkalan Utama, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JULAI 2026.

“Selepas tiga tahun beroperasi dengan rekod kewangan stabil, saya mula mencari dana daripada bank, lihat apa tawaran kerajaan negeri.

“Kemudian saya mendapat maklumat daripada kumpulan usahawan Perak yang memaklumkan Yayasan Perak ada buka bantuan kewangan iaitu pinjaman tanpa faedah dan itu sangat menarik.

“Kami mohon dan Alhamdulillah berjaya dapatkan bantuan kewangan sebanyak RM20,000 daripada Yayasan Perak untuk tambah modal. Kemudian, Haifa turut mendapat geran daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan pinjaman bank.

“Kini, barulah urusan mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan menjadi lebih mudah,” jelasnya.

Suami jadi tukang emas

Dalam pada itu, beliau yang mempunyai tiga pekerja mahir dalam selok-belok emas, selain suaminya yang memikul tanggungjawab sebagai tukang emas di kedai berkenaan membolehkan mereka menawarkan khidmat tempahan buatan khas dan batu permata.

Iqtiyani Ulfa tinggalkan ‘zon selesa‘, cabar diri ceburi perniagaan emas
Tukang emas melakukan kerja-kerja membaiki barang kemas di Kedai Emas Haifa, Taman Pengkalan Utama, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JULAI 2026.

“Setakat ini kita ada tiga orang pekerja yang kita train from zero (latih dari kosong). Untuk tukang emas pula, kami ada kenalan yang buka kelas pertukangan emas jadi suami saya belajar di situ,” katanya.

Katanya, sepanjang enam tahun berniaga, beliau sentiasa memerhati trend pasaran harga emas dan bersyukur kerana keuntungan perniagaannya semakin meningkat hasil sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Beliau juga berjaya menyusun strategi pemasaran dan aliran tunai dengan berkesan bagi memastikan perniagaannya terus relevan meskipun fasa ‘luar biasa’ PKP telah berakhir.

Terima anugerah ‘Usahawan Wanita Terbaik Perak 2025′

Penat jerih yang dilaluinya turut membuktikan kredibiliti beliau dalam industri apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua Usahawan Wanita Terbaik sempena Anugerah Usahawan Perak 2025, selain pernah terpilih sebagai finalis Anugerah Usahawan MARA Perak.

Setakat ini, kedai emas tersebut menjual barangan kemas mutu 916, jongkong emas 999 jenama antarabangsa dan tempatan, serta menerima tempahan khas daripada sektor korporat.

Iqtiyani Ulfa kini dalam perancangan untuk menambah cawangan baharu di lokasi yang berpotensi bagi memperluas lagi empayar perniagaannya.

Bagi mendekati pelanggan, perniagaan emas itu turut aktif di platform digital menerusi laman sesawang emashaifa.com serta sesi siaran langsung di TikTok dan Facebook ‘Kedai Emas Haifa’.

Iqtiyani Ulfa tinggalkan ‘zon selesa‘, cabar diri ceburi perniagaan emas
Pelbagai koleksi cincin emas dipamerkan di ruang pameran Kedai Emas Haifa di Taman Pengkalan Utama, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 24 JULAI 2026.

Kejayaannya dilihat selaras dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Flagship Kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang memfokuskan pemerkasaan usahawan menerusi bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk melonjakkan perniagaannya.

Kisah wanita ini secara tidak langsung menjadi inspirasi buat rakyat Perak bahawa sokongan ekosistem keusahawanan yang disediakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mampu mengangkat perniagaan kecil ke tahap yang lebih tinggi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ikon Asnaf Perak tekad bantu OKU berdikari melalui bidang keusahawanan

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI