IPOH- Penerima Anugerah Ikon Asnaf sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat negeri Perak, Khairruddin Mazli, 35, berazam untuk membantu rakan-rakan orang kurang upaya (OKU) supaya dapat berdikari menerusi bidang keusahawanan.
Anugerah tersebut disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat negeri yang bertemakan ‘Cetusan Hijrah Inspirasi Perubahan-Aspirasi Pembaharuan’ pada Selasa.
Khairruddin yang menerima pengiktirafan tersebut daripada Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melahirkan rasa syukur dan bangga atas pengiktirafan tersebut.
Beliau hilang penglihatan sepenuhnya ketika berusia 20 tahun akibat glaukoma dan kemudiannya menyertai Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) pada tahun 2013.
Pemilik Sufi Reflexology yang aktif dalam bidang urutan sejak 11 tahun lalu turut aktif menyumbang kepada masyarakat melalui Surau An-Nuriah, Taman Meru 2B dengan membantu pembayaran bil elektrik surau serta menyumbangkan beras kepada anak yatim setiap kali Ramadan.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak MAIPk dan JAIPk kerana memilih saya untuk menerima anugerah ini.
“Saya aktif dalam bidang urutan ini sudah 11 tahun. Sekarang, saya mempunyai premis urutan yang telah beroperasi selama 9 tahun di Meru Raya yang turut menjadi pusat latihan untuk mengajar orang ramai untuk mengambil kursus refleksologi dan urutan badan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 peringkat negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini, malam tadi.
Khairuddin berkata, amalan bersedekah itu membawa keberkatan kepada perniagaannya sehingga membolehkannya menunaikan zakat hasil daripada pendapatan yang diperoleh.
“Masa kali pertama saya bagi beras untuk anak yatim itu, saya tengok rezeki saya mencurah-curah. Daripada situ saya teruskan setiap tahun, begitu juga dengan bil elektrik surau itu, saya nampak rezeki saya makin banyak. Menerusi hasil urutan ini juga saya boleh membayar zakat.”
“Perancangannya saya untuk terus kembangkan lagi dan bawa bersama rakan-rakan OKU lain untuk terus maju dalam bidang urutan ini bersama-sama,” ujarnya.
Mengimbau permulaan kerjayanya, anak keempat dari empat adik beradik ini berkata, perniagaan tersebut dibangunkan secara berperingkat menggunakan modal sendiri hasil daripada kerja mengurut tanpa mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak.
“Saya bermula di Padang Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), kemudian di Padang Bulatan Sultan Azlan Shah, selepas itu baru saya buka kedai. Saya mula dengan modal sendiri hasil daripada urutan. Saya beli satu kerusi, satu katil, sikit-sikit saya tambah tanpa minta bantuan mana-mana.
“Kedai saya mula buka tahun 2017. Saya buat di tepi jalan tahun 2015 selepas saya berhenti main bola. Sebelum ini saya main bola mewakili Malaysia untuk orang buta dalam posisi pertahanan,” jelasnya.

Katanya, golongan OKU tidak seharusnya bergantung kepada bantuan orang lain sebaliknya perlu berusaha mencari sumber pendapatan sendiri.
“Bagi saya, kita tidak boleh mengharapkan duit daripada orang lain. Kita kena usaha sendiri untuk mencari rezeki.
“Kalau kita minta duit orang, mula-mula bolehlah, tetapi bila dah lama-lama, orang akan pandang rendah pada kita.
“Selain itu, bagi saya tidak kisah sama ada golongan OKU ataupun bukan OKU, selagi kita boleh berusaha mencari duit, kita usahalah sendiri.
“Kita buat saja apa yang kita boleh buat asalkan ia boleh mendatangkan pendapatan, tidak kisah banyak ataupun sedikit,” kata Penerima Anugerah Usahawan Perak 2025 kategori Usahawan OKU Terbaik. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Khairruddin bangkit setelah hilang penglihatan, kini usahawan pusat urutan, refleksologi


