MELAKA – Masyarakat diingatkan tidak sesekali memperlekeh atau meminggirkan pelajar tahfiz kerana masa depan golongan huffaz itu amat cerah dan mampu menjadi peneraju negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, anak-anak yang kuat pegangan agama tidak bermakna mempunyai cita-cita yang sempit, sebaliknya mereka mampu menguasai pelbagai cabang ilmu profesional.
“Jangan pernah memperlekehkan pendidikan tahfiz, mengecilkan masa depan pelajar tahfiz. Insya-Allah dengan usaha yang kita lakukan, dengan doa para ibu bapa, mereka akan menjadi ahli-ahli profesional, insya-Allah. Itulah harapan kita,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Graduasi Huffaz dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab di Bandaraya Melaka di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, tugas kerajaan dan masyarakat adalah menyediakan laluan yang jelas kepada pelajar tahfiz bermula daripada pendidikan awal hingga universiti, kemahiran dan kerjaya profesional.
“Saya tidak mahu mereka ini menghabiskan bertahun-tahun menghafal al-Quran tetapi akhirnya tercari-cari peluang kerana kelayakan mereka tidak diiktiraf sewajarnya,” tegasnya.
Justeru, tegas beliau, komitmennya sebagai pemimpin nombor dua negara adalah untuk terus memperkukuh ekosistem pendidikan tahfiz.
Katanya, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara kini diteruskan dengan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia dan penubuhan Majlis Tahfiz Negara.
Malah, tambah beliau, seramai 225,000 kanak-kanak tabika dan Tadika Kemas seawal usia dua hingga lima tahun telah memulakan kelas pratahfiz di seluruh negara, selain perluasan 58 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab yang mencatat pencapaian SPM tertinggi negara.
“Saya juga telah mengintegrasikan seluruh maahad tahfiz di negara kita, sama ada berdaftar atau tidak berdaftar, dan sekolah-sekolah pondok di seluruh negara untuk mengikuti pendekatan TVET,” ujarnya.
Ahmad Zahid berkata, disiplin dan ketekunan menghafal al-Quran adalah kekuatan yang perlu dilengkapi dengan latihan teknikal dan pengalaman industri melalui kursus yang disediakan oleh MARA, GiatMARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
“Bayangkan seorang doktor huffaz yang merawat dengan kepakaran dan ihsan, atau jurutera huffaz yang membangunkan teknologi dengan penuh amanah. Bukankah ini sumbangan yang kita mahu lihat?
“Ilmu menjadikan kita cekap, tetapi nilai menentukan bagaimana kepakaran itu digunakan,” katanya.
Beliau turut menetapkan sasaran kerajaan untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050 yang akan menjadi doktor, jurutera, saintis, usahawan dan pemimpin negara. – MalaysiaGazette


