IPOH – Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengkaji semula dan menyeragamkan kadar bayaran lesen tahunan penjaja di negeri ini.
Presidennya, Alfirzamunira Abdul Muin berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan PBT bagi membincangkan cadangan pengurangan kadar lesen berikutan aduan yang diterima daripada ahli persatuan.
Menurutnya, kadar lesen tahunan penjaja ketika ini berbeza mengikut PBT, iaitu antara RM170 hingga RM400.
“Setakat ini, kita sudah mendapat maklum balas untuk tahun hadapan mereka (PBT) akan menyeragamkan untuk harga lesen tahunan penjaja.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang, ia masih di peringkat perbincangan dan belum ada keputusan muktamad,” katanya ketika ditemui media pada Program Karnival Penjaja dan Usahawan bersama Komuniti di kompleks kelab Perak Sikh Union, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Alfirzamunira menyambut baik peruntukan pembiayaan berjumlah RM1.6 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2027 baru-baru ini.
“Alhamdulillah pihak persatuan dah ahli mengambil inisiatif yang baik susulan pengumuman tersebut,” ujarnya.
Katanya, setakat ini PPKMP mempunyai lebih 2,000 ahli di seluruh negeri, termasuk 600 ahli di daerah Kinta. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Warga asing tak boleh jadi penjaja, pekerja pembantu – Kor Ming


