IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Kerajaan Madani berjaya menaik taraf kemudahan tandas awam di seluruh negara berkonsepkan bersih, menawan dan wangi (BMW), dengan Little India di sini menjadi lokasi ke-12,000.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kemudahan tandas awam itu siap sepenuhnya hasil peruntukan RM200,000 yang diumumkannya ketika mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan tahun lalu.
Menurutnya, kemudahan tandas awam berkenaan dapat memberikan keselesaan kepada pelancong, penduduk setempat dan pengunjung yang menghadiri pelbagai aktiviti kebudayaan sempena sambutan Deepavali.
“Ramai tidak tahu Little India ini sudah wujud hampir 100 tahun, namun lebih tujuh, lapan dasawarsa (dekad) tidak ada tandas awam di kawasan tersebut.
“Malam ini penantian berakhir dan tandas itu sudah siap sepenuhnya,” katanya selepas mengadakan Walkabout Bazaar Deepavali @ Little India, Pekan Lama Ipoh dan Perasmian Tandas Awam di sini malam tadi yang turut dihadiri Presiden Persatuan Peniaga-Peniaga Little India, K Jeeva.

Beliau turut menyampaikan peruntukan KPKT sebanyak RM20,000 kepada persatuan terbabit bagi menyokong usaha menceriakan kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, persiapan menyambut Deepavali tahun ini di Little India turut dimeriahkan dengan pemasangan lampu hiasan hasil kerjasama pihak berkaitan dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Sukacita diumumkan mulai 3 hingga 6 November depan akan diadakan persembahan kebudayaan dan muzik selamat empat malam berturut-turut oleh Persatuan Peniaga-Peniaga Little India tahun ini. Semua warga masyarakat berbilang kaum dijemput hadir bersama.
“Pada 3 November sewaktu persembahan itu berlangsung, sekurang-kurangnya pelancong, penghuni, pengguna semua ada tempat yang bersih untuk mereka pergi ke tandas awam sebagai satu lagi prasarana kemudahan awam.

“Kita akan terus tingkatkan, memperkasakan lagi kebudayaan kebersihan dan tahun ini kita lihat persatuan tersebut turut bertungkus-lumus untuk membawa pelancong masuk ke sini,“ ujarnya.
Sebelum ini, Kor Ming dilaporkan berkata, KPKT akan meneruskan usaha berkenaan dengan menyalurkan peruntukan khas RM30 juta setahun bagi tempoh 2026 hingga 2030, menjadikan jumlah keseluruhan RM150 juta untuk kerja membaik pulih dan menaik taraf tandas awam pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh lima tahun akan datang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


