TAPAH – Seorang pemandu treler tersepit selepas kenderaan yang dipandu hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori kontena di kilometer (km) 307.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 3.29 petang.
Katanya, sejurus selepas itu tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi pasukan bomba mendapati mangsa iaitu lelaki berusia 38 tahun sedang dibawa keluar oleh orang awam.
“Pasukan bomba melaksanakan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan pengusung beserta tali sehingga mangsa berjaya dikeluarkan daripada kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Menurut Sabarodzi, lelaki yang cedera itu kemudian diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Fakhrul Razman Mat Zin itu tamat pada jam 4.24 petang.
Sementara itu Plustrafik menerusi laman sosial X memaklumkan, kemalangan itu telah mengakibatkan lorong kiri terhalang serta kesesakan trafik sepanjang 5 km.
Katanya, walau bagaimanapun setakat jam 6.14 petang, lorong di Lebuhraya PLUS itu sedang dalam proses untuk dibuka selepas kerja-kerja pengalihan dijalankan. – MG Perak
Artikel Berkaitan: