GERIK -Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia dengan penetapan syarat baharu 70 peratus kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) mulai tahun depan mesti daripada aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kementerian melalui SBP sedang menaik taraf serta memperbaiki aliran berkenaan melibatkan STEM A dan B.
“Pertama kita menyambut baik kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana apa yang disebut beliau sebenarnya selari di peringkat SBP.
“Secara keseluruhan kita telah bersedia, SBP bagi saya tiada masalah kerana memang keutamaan mereka adalah STEM,” selepas hadir pada Majlis Berbuka Puasa MADANI di Masjid Al-Bakri, Kampung Kuak Hulu, di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut Fadhlina berkata, KPM juga akan memberi lebih tumpuan kepada STEM A melibatkan sains tulen selain keseluruhan ekosistem pembudayaan STEM di SBP.
Jelas beliau, kementeriannya juga akan turut bekerja rapat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memastikan kesediaan melaksanakan STEM.
“Secara keseluruhan SBP dan sekolah menengah sains memang menjadi tumpuan kita dan dari segi pelaksanaan itu sudah mencapai 98 peratus di SBP,” katanya.
Terdahulu Anwar dalam ucapannya pada Sabtu memaklumkan kerajaan menetapkan syarat baharu supaya 70 peratus kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan SBP Tingkatan Empat mulai tahun depan mesti daripada aliran STEM.
Beliau berkata, sungguhpun akan wujud bantahan daripada ibu bapa, pelaksanaan syarat itu perlu dilaksanakan.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat memandangkan minat pelajar khususnya pelajar Melayu terhadap STEM semakin merosot, tidak seiring dengan dasar baharu negara yang memfokus disiplin teknologi baharu. -MG Perak