Banjir: Projek RTB Kampung Gajah di peringkat kajian reka bentuk

IPOH – Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa Kedua di Kampung Gajah, Pasir Salak kini berada di peringkat kajian reka bentuk oleh perunding yang dilantik.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, reka bentuk akhir dijangka akan dimuktamadkan dalam makmal kejuruteraan nilai (VE) pada Februari tahun hadapan.

“Projek ini jangka diiklankan pada bulan Julai 2026 dan Surat Setuju Terima dijangka pada bulan November 2026 selain projek ini juga terlibat dengan pengambilan tanah.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak bersama-sama Bahagian Pengurusan Banjir, JPS (Persekutuan) sentiasa komited dalam menjayakan projek ini dengan kadar segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Mohammad Nizar (PH-Sungai Rapat) menjawab soalan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara bersekali iaitu Zafarulazhan Zan (PN-Kampung Gajah) dan Berhanudin Ahmad (PN-Manong) berkenaan RTB.

Mengulas lanjut, beliau berkata kawasan Lubuk Keli di Kampung Gajah turut dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi banjir, khususnya ketika berlakunya fenomena air pasang besar.

Katanya, dua anak sungai iaitu Sungai Rusa dan Sungai Rubana yang tiada struktur pintu air turut menyumbang kepada risiko banjir kerana air dari Sungai Dedap tidak dapat dikawal keluar masuk, sekali gus menyebabkan limpahan apabila berlaku air pasang.

“Antara langkah jangka pendek yang telah dilakukan oleh JPS, ialah melaksanakan kerja korekan di Parit Lubuk Keli sehingga ke pintu air Lubuk Keli bagi memastikan air dapat dikeluarkan dengan lancar apabila air sungai surut.

“Jabatan juga dalam perancangan untuk melaksanakan kertas kerja projek RTB Lubuk Keli. Saya akan mengusulkan perkara ini dengan JPS dan cuba sedaya upaya perkara ini dapat diatasi segera,” jelas beliau.

Bagi kawasan Manong pula, beliau memaklumkan JPS Kuala Kangsar akan menjalankan kerja penyelenggaraan sungai secara berkala setiap tahun di lokasi berisiko banjir, tertakluk kepada kelulusan peruntukan.

Tambah beliau, JPS telah mengemukakan permohonan bagi melaksanakan projek RTB Kuala Kangsar di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“JPS juga sering membuat pemantauan serta berhubung dengan agensi berkaitan untuk mendapatkan maklumat kawasan berisiko banjir seperti yang di bangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Negeri,” tambahnya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

40 rumah di Lumut, Sitiawan terjejas banjir kilat

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI