KBK 2026: Belia Perak diberi pendedahan ilmu content creator

IPOH – Kem Belia Kreatif (KBK) 2026 anjuran People of Remarkable Talents (PORT) menerusi Bengkel Perak Sejahtera 2030 – Strategi dan Pembangunan Kandungan Kreatif memberi pendedahan baharu kepada golongan muda yang berminat dalam bidang penciptaan kandungan digital.

Pelajar Kolej Vokasional Lebuh Cator, Hasnul Harith Burhanuddin, 19, berkata, minatnya terhadap penghasilan video sudah lama wujud, namun mengakui masih kurang memahami teknik sebenar untuk meningkatkan tahap interaksi atau engagement sebagai pencipta kandungan.

Dia sering menghasilkan video berkaitan tugasan kolej, terutamanya mengenai sistem PA yang disertakan dengan elemen visual serta terlibat dalam penghasilan video dan kandungan kreatif sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran dan dokumentasi projek.

KBK 2026: Belia diberi pendedahan dalami ilmu pencipta kandungan
Hasnul Harith Burhanuddin. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

“Selepas mengikuti bengkel ini, saya dapat tahu dekat mana kesilapan kenapa video tontonan rendah dan tersekat di situ dan kenapa orang tak tengok. Jadi, kita tahu bagaimana untuk menambah baik, kat mana-mana yang lompong yang kita tengok sebelum ini.

“Sebab buat content (kandungan) itu pun untuk seronok-seronok juga, dalam masa yang sama kalau kita dapat gunakan platform kita buat content ini untuk personal branding (penjenamaan peribadi), untuk orang kenal ataupun dari segi monetization (menjana pendapatan), akan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup KBK 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru di sini.

Hasnul Harith berkata, ilmu dalam bidang kandungan kreatif sentiasa berkembang dan perlu terus dipelajari dari semasa ke semasa.

“Insya-Allah sebab ilmu kita takkan pernah habis. Kita akan sentiasa cuba untuk cari lagi (bengkel) kalau ada. Cuma saya berharap program itu akan diadakan lebih meluas melibatkan pelbagai sudut termasuk dari segi pemasaran,“  ujarnya.

KBK 2026: Belia diberi pendedahan dalami ilmu pencipta kandungan
Artis Grafiti, Amir Hamzah Al-Hafiz Mohd Yunus

Artis grafiti, Amir Hamzah Al-Hafiz Mohd Yunus, 29, tidak melepaskan peluang untuk menyertai bengkel tersebut buat kali pertama memandangkan dia turut terlibat dalam industri kreatif sebagai pereka grafik dan pelukis.

Katanya, penyertaan dalam program tersebut bertujuan untuk memperluaskan lagi peluang dalam mempromosikan bidang kreatif yang diceburinya, khususnya ke arah platform digital.

“Saya tengok kem ini mungkin boleh beri saya satu peluang dalam mempromosikan bidang kerja ke arah bidang digital. Sebab ini membantu untuk memudahkan saya mencari klien. Jadi kita boleh promosi bukan secara terus, melalui media sosial,” katanya.

Tambahnya, selepas menyertai kem tersebut, beliau memperoleh pelbagai input yang boleh dimanfaatkan dalam usaha mempromosikan bidang kreatifnya melalui platform media sosial seperti TikTok dan Instagram.

KBK 2026: Belia diberi pendedahan dalami ilmu pencipta kandungan
Pelajar Kolej Vokasional Lebuh Cator, Nur Afiqkah Abdul Rahim. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Sementara itu, Nur Afiqkah Abdul Rahim, 17, berkata, penyertaannya dalam program tersebut dapat diaplikasikan dalam projek perniagaan yang akan dilaksanakan oleh pelajar Kolej Vokasional Lebuh Cator.

Menurutnya, banyak ilmu baharu diperoleh berkaitan dunia penciptaan kandungan digital selepas mengikuti bengkel tersebut.

“Saya dapat belajar cara yang betul untuk jadi content creator (pencipta kandungan). Jadi saya tahu bagaimana untuk menetapkan harga kandungan yang dibuat. Sebab setiap kandungan yang dihantar ada tahapnya dan harga yang ditetapkan,“ katanya.

Katanya, bengkel tersebut dilihat membantu memberi pendedahan awal kepada peserta dalam aspek keusahawanan dan industri digital, selari dengan keperluan semasa pasaran kerja dan ekonomi kreatif. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

KBK 2026 fokus seni digital, buka ruang belia dalami teknologi industri kreatif

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI