Penunggang motosikal maut, seorang lagi cedera dalam kemalangan di Lenggong

LENGGONG – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas dua motosikal terlibat dalam kemalangan di Kilometer 49, Jalan Gerik-Kuala Kangsar, berhampiran Kampung Gelok, di sini, pada Ahad malam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal jenis SYM disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Samad Othman berkata, kemalangan itu turut melibatkan seorang lelaki berusia 36 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal dipercayai bergerak dari arah Gerik menghala ke Kuala Kangsar.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal Yamaha 135LC yang berada di belakang dipercayai gagal mengelak lalu sebelum melanggar bahagian belakang motosikal SYM di hadapannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, susulan kejadian itu kedua-dua penunggang mengalami kecederaan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Lenggong untuk mendapatkan rawatan awal.

“Penunggang motosikal yang berusia 47 tahun kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Manakala, penunggang motosikal Yamaha 135LC mengalami kecederaan pada bahagian muka dan masih menerima rawatan,” katanya.

Abdul Samad berkata, justeru kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan lampu kenderaan berfungsi dengan sempurna, khususnya ketika berada di jalan raya pada waktu malam,” katanya. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Proses bedah siasat empat mangsa kemalangan maut di Gerik selesai

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI