KBK 2026 fokus seni digital, buka ruang belia dalami teknologi industri kreatif

IPOH – Bidang seni digital yang kini menjadi pemacu utama industri kreatif dipilih sebagai tema Kem Belia Kreatif (KBK) 2026 anjuran People of Remarkable Talents (PORT), sekali gus membuka ruang kepada belia mendalami penguasaan teknologi digital.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PORT, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, sejak diperkenalkan pada tahun 2023, program itu terus berkembang dengan memilih tema yang selari dengan keperluan industri semasa.

Menurutnya, pada tahun 2023, kem tersebut memfokuskan kepada industri perfileman dan hiburan, diikuti seni cetak (2024) serta seni muzik (2025).

“Perjalanan tema-tema ini menunjukkan evolusi yang jelas daripada asas seni tradisional dan persembahan, kepada penguasaan teknologi digital yang menjadi nadi kepada ekonomi kreatif hari ini.

“Kita kini berada dalam era teknologi baharu dan ekonomi digital, di mana kreativiti dan inovasi menjadi pemacu utama pembangunan.

“Bidang seperti animasi, filem, reka bentuk digital dan kandungan kreatif bukan sahaja memberi nilai seni, tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi.

“Justeru, pendekatan KBK yang berkonsepkan bengkel bersama mentor daripada kalangan profesional industri adalah sangat bertepatan bagi membuka ruang kepada peserta untuk mendapatkan pendedahan sebenar, membina rangkaian, serta memahami keperluan industri,” katanya.

KBK 2026 fokus seni digital, buka ruang belia dalami teknologi industri kreatif
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berucap pada Majlis Perasmian Penutup Bengkel Perak Sejahtera 2030 Kem Belia Kreatif di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru, Ipoh, pada Ahad. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 10 MEI 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kem Belia Kreatif 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru di sini hari ini. Hadir sama, Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin.

Dalam pada itu, Khairudin turut menzahirkan penghargaan kepada peranan PORT sebagai sebuah platform penting yang menyediakan ruang, peluang dan sokongan kepada belia kreatif untuk berkembang.

“Usaha PORT dalam membina ekosistem kreatif yang inklusif amat penting dalam melahirkan bakat baharu serta memperkukuh industri kreatif di negeri ini.

“Program ini bukan sekadar tempat untuk mempelajari kemahiran teknikal, tetapi ia adalah satu usaha bagi membina modal insan yang berkualiti.

“Inilah pelaburan jangka panjang dalam melahirkan generasi pelapis yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing,” ujarnya.

Katanya, selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, pembangunan belia serta pengukuhan sektor seni budaya dan industri kreatif adalah antara fokus utama yang diberi penekanan, seterusnya memberi nilai tambah yang signifikan kepada ekonomi kreatif di Perak.

“Kita mahu melihat lebih ramai anak muda Perak tampil ke hadapan sebagai pencipta kandungan, animator, pengarah, pemuzik, dan penggiat seni yang mampu menembusi pasaran global.

“Industri filem dan animasi tempatan khususnya amat memerlukan bakat-bakat baharu yang kreatif dan berkemahiran tinggi. Saya yakin, peserta Kem Belia Kreatif hari ini merupakan benih-benih yang akan mengisi keperluan tersebut pada masa hadapan,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

INSKEN seru usahawan kuasai teknologi digital, AI hadapi ketidaktentuan ekonomi global

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI