Kes bunuh ibu: Dua beradik OKU masih ditempatkan di institusi JKM

IPOH – Dua beradik masing-masing berusia 13 dan 17 tahun yang kehilangan ibu dalam kes pembunuhan di Kuala Kangsar pada September lalu masih ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, penempatan itu diteruskan bagi menjamin tahap keselamatan dan kebajikan mereka.

Katanya, mereka akan terus ditempatkan di bawah institusi JKM sehingga terdapat waris yang sesuai dan layak mengambil tanggungjawab menjaga kedua-dua beradik orang kurang upaya (OKU) berkenaan.

“Setakat ini, mereka masih berada di institusi JKM kerana kita perlu memastikan mereka berada dalam keadaan selamat.

“Sekiranya ada ahli keluarga yang tampil untuk mengambil mereka, kita akan membuat penilaian terlebih dahulu sama ada individu berkenaan layak atau tidak untuk menjaga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak Tahun 2026 di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Isnin.

Pada majlis sama, Salbiah turut menyempurnakan Pelancaran Kod QR Pusat Maklumat Keganasan Rumah Tangga.

Hadir sama, Pengarah JKM Perak, Ismail Arul Raj Amirudin serta Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria.

Salbiah berkata, proses penilaian dan pengurusan kes membabitkan pegawai pelindung serta individu yang sesuai untuk menjaga kanak-kanak itu memerlukan masa bagi memastikan kebajikan mereka tidak terjejas.

September lalu media melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar selepas didakwa didakwa membunuh tanpa niat ibunya yang juga OKU lembam.

Tertuduh, anak kedua daripada tiga beradik yang juga seorang remaja autistik kemudian diperintahkan untuk dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK) Tanjung Rambutan bagi menjalani pemeriksaan psikiatri.

Dalam perkembangan berkaitan, Salbiah berkata, setakat ini Perak masih belum mempunyai pusat perlindungan khusus untuk mangsa keganasan rumah tangga, namun kerajaan negeri mempunyai beberapa saluran bagi membantu mangsa mendapatkan perlindungan sementara.

Menurut beliau, antara usaha yang dilaksanakan adalah termasuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman mengendalikan kes keganasan rumah tangga, selain menggunakan kemudahan sedia ada seperti Anjung Singgah dan institusi JKM mengikut kesesuaian kes.

“Cadangan untuk mewujudkan pusat perlindungan khusus memang ada, tetapi kita perlu melihat pelbagai faktor.

“Buat masa ini, mangsa boleh dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan bantuan dan perlindungan bersesuaian, terutama jika tiada ahli keluarga yang boleh mengambil mereka,” katanya lagi.

Mengulas tentang program, Salbiah berkata, penganjurannya bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan rumah tangga, selain memupuk sikap prihatin terhadap keadaan individu di sekeliling mereka.

Beliau berkata, program itu turut menghimpunkan agensi kerajaan dan NGO menerusi forum perkongsian oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), serta pengalaman mangsa keganasan.

Selain itu, kata beliau, pelancaran kod QR turut dilaksanakan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai tindakan yang perlu diambil, termasuk saluran untuk mendapatkan bantuan atau membuat laporan berkaitan keganasan rumah tangga.

“Komuniti yang prihatin bukan sekadar mengetahui penderitaan seseorang, tetapi juga tahu bagaimana memberikan bantuan dengan cara yang betul.

“Kita mahu masyarakat berani bersuara apabila berhadapan dengan keganasan, tidak menyebarkan aib mangsa dan sentiasa mengutamakan nilai kemanusiaan,” katanya lagi.  – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Wanita OKU ditemukan mati ditikam, dua ahli keluarga ditahan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI